WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dan Iran ketika ini tidak terlibat dalam sebarang rundingan untuk menamatkan konflik yang sedang berlaku, sebaliknya, Washington memberi tumpuan kepada usaha menekan Tehran melalui langkah ekonomi, kata Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt.
Dalam wawancara bersama program Fox & Friends pada Khamis, Leavitt berkata, matlamat utama Presiden Donald Trump kekal sama, iaitu memastikan Iran tidak sekali-kali memperoleh senjata nuklear.
“Apa yang menjadi matlamat nombor satu Presiden Trump sejak dahulu dan akan sentiasa menjadi keutamaannya ialah memastikan Iran tidak pernah memiliki senjata nuklear. Titik.
“Sebelum ini, kita melaksanakan Operasi Epic Fury untuk memusnahkan keupayaan ketenteraan mereka. Kini, kita melaksanakan Operasi Economic Outcast untuk melumpuhkan ekonomi mereka,” katanya.
Leavitt menegaskan. tiada rundingan sedang berlangsung antara kedua-dua negara pada masa ini dan keadaan itu akan berterusan sehingga Iran menunjukkan kesediaan untuk kembali ke meja rundingan dengan pendekatan yang lebih bermakna.
“Tiada rundingan sedang berlaku sekarang dan keadaan ini akan berterusan sehingga Presiden merasakan mereka bersedia untuk berunding secara serius. Setakat ini, kami belum melihat perkara itu berlaku,” katanya.
Menurut beliau, Trump juga masih mengekalkan semua pilihan yang ada dalam menangani Iran.
“Beliau terus mengekalkan semua pilihan di atas meja dan sekatan laut yang dilaksanakan juga masih berkuat kuasa,” katanya.
Pada Isnin lalu, Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent memberi amaran kepada negara-negara lain supaya memutuskan hubungan kewangan dengan Iran atau berdepan sekatan sekunder Amerika sebagai sebahagian daripada langkah yang digelar sebagai “economic D-Day.”
Bagaimanapun, Jabatan Perbendaharaan AS tidak mengumumkan sebarang hukuman atau penalti baharu setakat ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Qatar mengadakan lawatan ke Tehran pada Khamis dalam usaha menghidupkan semula saluran diplomatik selepas AS dan Iran saling berbalas tuduhan berhubung rancangan Washington untuk meningkatkan tekanan ekonomi ke atas republik Islam itu.
Seorang pegawai Iran sebelum ini menyifatkan langkah berkenaan sebagai “perang ekonomi habis-habisan” terhadap negara tersebut. - Agensi