WASHINGTON: TikTok dan syarikat induknya, ByteDance, bersetuju membayar AS$400 juta (kira-kira RM1.6 bilion) kepada kerajaan Amerika Syarikat (AS) bagi menyelesaikan saman yang mendakwa platform media sosial itu melanggar undang-undang privasi kanak-kanak, dalam antara penyelesaian terbesar pernah dicapai bagi kes seumpamanya.
Saman tersebut difailkan Jabatan Kehakiman (DOJ) AS pada 2024, yang mendakwa TikTok mengumpul sejumlah besar data peribadi jutaan pengguna berusia bawah 13 tahun tanpa mendapatkan kebenaran ibu bapa, sekali gus melanggar Akta Perlindungan Privasi Dalam Talian Kanak-Kanak (COPPA).
Di bawah perjanjian itu, TikTok akan membayar AS$300 juta serta-merta kepada kerajaan AS, manakala baki AS$100 juta akan dibayar selepas satu perintah mahkamah berkaitan pendahulunya, Musical.ly, dibatalkan.
DOJ menyifatkan penyelesaian tersebut sebagai antara pemulihan kewangan terbesar dalam sejarah pelaksanaan COPPA, undang-undang yang mewajibkan laman web dan perkhidmatan dalam talian mendapatkan persetujuan ibu bapa sebelum mengumpul maklumat peribadi kanak-kanak berusia bawah 13 tahun.
Penolong Peguam Negara AS, Brett Shumate, berkata kanak-kanak dan ibu bapa kini menikmati perlindungan yang lebih baik berbanding ketika kes itu mula difailkan.
Menurut DOJ, sejak saman tersebut difailkan, TikTok telah melaksanakan pelbagai perubahan melibatkan struktur pemilikan, amalan privasi serta kawalan keselamatan bagi pengguna muda, termasuk penambahbaikan mekanisme pengesahan umur dan pemantauan ibu bapa.
Ketika saman itu difailkan, kerajaan AS mendakwa TikTok mempunyai lebih 170 juta pengguna di negara itu dan gagal memastikan umur pengguna dikenal pasti dengan tepat serta tidak mendapatkan persetujuan ibu bapa bagi pengguna bawah umur.
Kes itu turut mendakwa TikTok membenarkan kanak-kanak membuka akaun biasa yang sepatutnya hanya digunakan oleh individu berusia 13 tahun ke atas, selain mengumpul dan menyimpan data peribadi mereka tanpa kebenaran yang sewajarnya.
Penyelesaian berkenaan menambah senarai syarikat teknologi yang dikenakan tindakan di bawah COPPA. Sebelum ini, YouTube membayar AS$170 juta pada 2019, manakala Epic Games membayar AS$275 juta pada 2022 bagi menyelesaikan dakwaan serupa.
TikTok bagaimanapun tidak mengaku melakukan sebarang salah laku di bawah terma penyelesaian tersebut.