GUJARAT: Pengguna lebuh raya di daerah Amreli berdepan detik cemas apabila seekor singa liar dilihat melintas menyebabkan kenderaan termasuk kereta, trak dan motosikal berhenti untuk memberi laluan.

Menerusi sebuah video tular dirakamkan pengguna lebuh raya, singa tersebut dilihat menuju ke sebuah kuil yang terletak di seberang jalan berhampiran.

Kejadian tersebut menambah lagi kebimbangan mengenai peningkatan pergerakan hidupan liar di kawasan itu.

Sebelum ini, sebanyak enam ekor singa dilapor berkeliaran di kawasan perumahan pada waktu malam selain rakaman kamera litar tertutup turut merakamkan seekor lembu dikejar beberapa ekor singa di jalanan.

Gujarat merupakan satu-satunya habitat terakhir singa Asia di dunia, menjadi lokasi kepada lebih 50 ekor singa liar yang hidup bebas di hutan Girnar.

Peningkatan pergerakan singa di luar habitat semula jadi mereka menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk dan pihak berkuasa hidupan liar. - Sinar Harian memetik agensi