Skip to main content

Dunia

Trump tidak tergesa-gesa serang semula Iran

Presiden Trump membayangkan bahawa Washington tidak akan tergesa-gesa melancarkan semula serangan ketenteraan terhadap Iran selepas pilihan raya pertengahan penggal pada Selasa, ketika usaha diplomatik dengan Tehran menunjukkan perkembangan positif. - Gambar AP
Presiden Trump membayangkan bahawa Washington tidak akan tergesa-gesa melancarkan semula serangan ketenteraan terhadap Iran selepas pilihan raya pertengahan penggal pada Selasa, ketika usaha diplomatik dengan Tehran menunjukkan perkembangan positif. - Gambar AP
Advertisement

ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump membayangkan bahawa Washington tidak akan tergesa-gesa melancarkan semula serangan ketenteraan terhadap Iran selepas pilihan raya pertengahan penggal pada Selasa, ketika usaha diplomatik dengan Tehran menunjukkan perkembangan positif, lapor Anadolu Ajansi.

"Tidak," jawab Trump ketika ditanya pemberita selepas satu acara kempen di Washington sama ada beliau sedang mempertimbangkan untuk menyerang Iran sekali lagi selepas pilihan raya itu.

Ketika berucap pada acara berkenaan, Trump menegaskan bahawa Tehran tidak akan sesekali dibenarkan memiliki senjata nuklear, sambil mendakwa pegawai Iran sendiri sudah memahami pendirian itu.

Advertisement

Beliau menggesa para pengundi mengambil kira usaha pentadbirannya menghalang Iran daripada memperoleh senjata nuklear ketika keluar mengundi.

Trump menegaskan bahawa usaha menghalang Tehran daripada memiliki keupayaan nuklear amat penting kerana jika tidak, negara itu "tidak akan berfungsi seperti sebelumnya."

Advertisement

"Kami menghentikannya setahun lalu dengan pesawat pengebom B-2 yang hebat itu, yang berjaya mengenai setiap sasaran dan menimbus segala-galanya dengan ratusan tan batu," kata beliau. 

Trump turut membayangkan bahawa usaha mencapai penyelesaian diplomatik sedang berjalan dengan baik, sambil mengaitkan prospek perjanjian dengan penurunan harga tenaga.

"Sebab itulah saya rasa harga minyak turun begitu mendadak," katanya.

Trump turut mendakwa, tekanan AS telah melemahkan ekonomi Iran dengan teruk.

"Kami telah melumpuhkan mereka dari segi kewangan. Mereka tiada wang, tiada petrol dan rakyat mereka semakin bosan dengan keadaan itu," kata beliau. 

Presiden AS itu berkata, komunikasi dengan Tehran "berjalan lancar", namun menuduh perunding Iran sengaja melengahkan perbincangan.

"Pihak Iran nampaknya tidak begitu tergesa-gesa seperti yang dijangkakan, tetapi mereka kini lebih mahu mencapai persetujuan berbanding sebelum ini," katanya.

Kenyataan Trump itu menyusuli laporan bahawa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam perbualan telefon dengan Trump pada Sabtu menggesa Washington melancarkan serangan ketenteraan segera selepas pilihan raya pertengahan penggal.

Bagaimanapun, menurut Axios, Trump memilih untuk membenarkan rundingan diplomatik diteruskan meskipun Netanyahu membangkitkan kebimbangan berhubung perkara itu.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement