ISTANBUL: Hampir 700,000 wanita di United Kingdom akan mengambil bahagian dalam ujian skala besar yang dijalankan oleh Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) untuk menilai penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam penyaringan kanser payudara, lapor Agensi Anadolu, memetik media tempatan pada Selasa.

Ujian penyaringan kanser payudara menggunakan AI bertujuan mempercepatkan diagnosis dan mengurangkan tekanan kepada pakar radiologi, lapor BBC.

Ujian awal pengesanan menggunakan Information Technology in Health (Edith) yang bernilai GBP11 juta (AS$13.75 juta), yang dijadualkan bermula pada April, akan menguji lima platform AI di 30 lokasi. Wanita yang sudah dijadualkan untuk pemeriksaan rutin akan dijemput untuk mengambil bahagian.

Pada masa ini, dua pakar radiologi meneliti mamogram untuk ketepatan. Sistem AI berkemungkinan membolehkan seorang pakar sahaja menyelesaikan proses tersebut, membantu mengurangkan masa menunggu.

Dengan lebih dua juta mamogram dilakukan setiap tahun, teknologi ini berpotensi memberi impak besar kepada beban kerja NHS.

Lucy Chappell, Ketua Penasihat Saintifik di Jabatan Kesihatan dan Penjagaan Sosial, menyifatkan kajian itu sebagai "langkah besar ke hadapan" dalam memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan penjagaan pesakit.

Sementara itu, Setiausaha Kesihatan Wes Streeting, menekankan keperluan mendesak untuk menangani kadar kelangsungan hidup pesakit kanser di negara itu dan komited untuk melancarkan pelan kanser kebangsaan yang komprehensif.

Bagaimanapun, Royal College of Radiologists memberi amaran mengenai kekurangan pakar radiologi sebanyak 30 peratus, menegaskan yang AI sahaja tidak mampu menyelesaikan isu kapasiti.

Kerajaan turut melancarkan seruan awam untuk mendapatkan pandangan bagi merangka strategi kanser kebangsaan yang akan datang.

-- BERNAMA