SANTA FE: Warga di Santa Fe, New Mexico, lokasi bintang veteran Hollywood, Gene Hackman memilih untuk bersara, masih terkejut dan sedih dengan kematian pelakon berusia 95 tahun itu. 

Hackman, seorang pelakon watak yang berkarisma dan memenangi dua Anugerah Oscar sepanjang kerjaya lebih 60 tahun, meninggal dunia akibat punca yang tidak diketahui di rumahnya bersama isteri, pemain piano Betsy Arakawa, serta salah seekor anjing peliharaan mereka.

Perkara ini disahkan pejabat sheriff di Santa Fe, New Mexico pada Khamis. 

Menurut kenyataan pejabat sheriff daerah Santa Fe, Hackman dan Arakawa, 64, ditemui meninggal dunia di bilik berasingan dalam rumah mereka pada petang Rabu.

Tambah kenyataan, elemen jenayah berkemungkinan bukan faktor kematian pada masa ini, namun punca sebenar kematian masih belum dikenal pasti.

Dalam pada itu, pihak berkuasa kemudian memaklumkan, mereka sedang menyiasat semua kemungkinan. 

Ini kerana, pihak berkuasa telah memohon waran geledah pada malam Rabu, memberitahu hakim bahawa kematian itu "cukup mencurigakan dan memerlukan pencarian dan siasatan menyeluruh." 

Hackman cukup dikenali dengan watak Jimmy 'Popeye' Doyle dalam filem The French Connection pada 1971 yang membawa dia memenangi trofi Pelakon Lelaki Terbaik di Academy Awards.

Isterinya, Arakawa adalah pemain piano klasikal.