WASHINGTON: Semalam, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan, racangannya untuk mengambil alih Semenanjung Gaza dan menguruskan wilayah itu dengan baik.

Bahkan, Trump menyeru supaya rakyat Palestin dari Gaza yang dilanda perang dipindahkan secara kekal dan membiarkan kemungkinan tentera Amerika dikerahkan ke sana sebagai sebahagian daripada operasi pembinaan semula besar-besaran.

Susulan cadangan itu, Trump menerima kecaman dari seluruh dunia sehingga ada yang berpendapat, apa yang disuarakan Presiden AS itu sebagai ‘gila’ dan tidak masuk akal.

Sekutu Amerika dan penggubal undang-undang Republikan menolak cadangan Trump AS harus mengambil “pemilikan” wilayah itu.

Melihat sentimen yang tidak berpihak pada Amerika itu, diplomat tertinggi negara itu mengeluarkan kenyataan menyebut, Trump hanya mahu memindahkan rakyat Palestin dari Gaza secara sementara

Kata Setiausaha Negara, Marco Rubio dan Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt, Trump hanya ingin memindahkan kira-kira 1.8 juta penduduk Gaza buat sementara waktu bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan semula dilakukan.

Cadangan itu sendiri telah menerima kritikan daripada rakyat Palestin yang bimbang mereka mungkin tidak akan dibenarkan kembali jika berpindah serta dari negara-negara Arab yang Trump harapkan untuk menerima mereka.

Rubio, dalam lawatan luar negara pertamanya sebagai Setiausaha Negara menyifatkan cadangan Trump sebagai tawaran yang “sangat bermurah hati” untuk membantu dalam pembersihan runtuhan dan pembinaan semula Gaza selepas 15 bulan pertempuran antara Israel dan Hamas.

“Dalam tempoh peralihan, sudah tentu orang ramai perlu tinggal di suatu tempat sementara Gaza sedang dibina semula,” kata Rubio dalam satu sidang media di Guatemala City.

Leavitt dalam satu taklimat dengan wartawan di Washington pula berkata, Gaza kini adalah “tapak pemusnahan” dan merujuk kepada rakaman kemusnahan di sana.

“Presiden telah menjelaskan bahawa mereka perlu dipindahkan sementara dari Gaza,” katanya yang menyifatkan wilayah itu sebagai “tempat yang tidak boleh dihuni manusia” selain menyebut adalah “kejam untuk mencadangkan bahawa orang harus tinggal dalam keadaan yang begitu teruk.”

Kenyataan mereka bercanggah dengan apa yang dikatakan Trump sehari sebelum itu.

“Jika kita dapat menyediakan kawasan yang indah untuk menempatkan mereka secara kekal di rumah yang selesa, di mana mereka boleh hidup dengan bahagia tanpa ditembak, tanpa dibunuh, tanpa ditikam hingga mati seperti apa yang sedang berlaku di Gaza.”

Trump turut menyatakan beliau membayangkan “pemilikan jangka panjang” AS dalam pembangunan semula wilayah yang terletak di sepanjang Laut Mediterranean itu.

Mesir, Jordan dan sekutu-sekutu AS yang lain di Timur Tengah telah memberi amaran kepada Trump bahawa pemindahan rakyat Palestin dari Gaza hanya akan mengancam kestabilan rantau itu, berisiko memperluaskan konflik, dan menjejaskan usaha bertahun-tahun AS serta sekutunya dalam mencari penyelesaian dua negara.

Kementerian Luar Negeri Arab Saudi memberi reaksi terhadap kenyataan Trump dengan menekankan pendiriannya yang konsisten dalam menyeru pembentukan sebuah negara Palestin yang merdeka.

“Tanggungjawab masyarakat antarabangsa hari ini adalah untuk bekerja bagi mengurangkan penderitaan teruk yang dialami oleh rakyat Palestin, yang akan tetap berpegang teguh kepada tanah mereka dan tidak akan berpaling daripadanya,” kata kenyataan Arab Saudi.

Malah Senator Lindsey Graham, seorang Republikan dan sekutu Trump menyifatkan cadangan itu sebagai “bermasalah.”

“Idea bahawa tentera Amerika akan masuk ke Gaza adalah sesuatu yang mustahil bagi setiap senator,” kata ahli politik dari Carolina Selatan itu kepada wartawan pada Rabu.

“Saya cadangkan kita kembali kepada usaha asal iaitu memusnahkan Hamas dan mencari jalan supaya dunia Arab mengambil alih Gaza dan Tebing Barat dalam cara yang boleh membawa kepada pembentukan sebuah negara Palestin yang dapat diterima oleh Israel.”

Rubio menegaskan cadangan Trump “bukan bertujuan sebagai tindakan bermusuhan.”

“Apa yang beliau tawarkan secara murah hati ialah keupayaan Amerika Syarikat untuk membantu dalam pembersihan runtuhan, pembuangan sisa senjata, pembinaan semula rumah, perniagaan dan perkara-perkara lain supaya rakyat boleh kembali ke sana,” kata Rubio.

Namun begitu, White House menyatakan, Trump menolak kemungkinan menghantar dana AS bagi membantu pembinaan semula Gaza.

Tetapi Leavitt, seperti Trump, enggan menolak kemungkinan menghantar tentera Amerika ke Gaza, dengan menegaskan Trump “mahu mengekalkan pengaruh itu dalam rundingan.”

Rakyat Palestin, negara-negara Arab dan pihak lain telah menolak cadangan pemindahan sementara dari Gaza, yang bertentangan dengan dasar AS selama berdekad-dekad yang menyokong pembentukan sebuah negara Palestin tanpa pemindahan lanjut rakyat Palestin dari Gaza atau Tebing Barat.

Cadangan itu juga seperti mengabaikan rundingan berbulan oleh pentadbiran Joe Biden untuk merangka rancangan “pasca perang” bagi pembinaan semula dan pemerintahan Gaza.

Presiden Joe Biden telah berusaha untuk menetapkan rancangan itu - yang menyeru pemerintahan bersama wilayah itu oleh Pihak Berkuasa Palestin di bawah pengawasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta satu pasukan pengaman antarabangsa - sebelum beliau meninggalkan jawatan, dengan menjemput utusan utama Trump di Asia Barat untuk menyertai rundingan akhir mengenai gencatan senjata di Gaza. - Agensi