Ringkasan AI
- Elon Musk memperkenalkan AI terbaharu, Grok 3, yang didakwa lebih baik daripada ChatGPT, Google Gemini, dan model lain.
- Grok 3 akan tersedia untuk pelanggan Premium di X dan langganan baharu SuperGrok.
- Musk terus bersaing dengan OpenAI, termasuk menyaman dan cuba membeli syarikat itu, tetapi tawarannya ditolak.
Musk menyifatkan Grok 3 sebagai "AI paling pintar di dunia", dan syarikat itu mendakwa ia mencatat prestasi lebih baik dalam ujian penanda aras bagi sains, matematik dan pengekodan berbanding ChatGPT, selain Google Gemini, DeepSeek dan Claude keluaran Anthropic.
Dalam siaran langsung pelancaran model baharu itu, Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX dan Tesla itu berkata Grok 3 mempunyai kuasa pemprosesan lebih 10 kali ganda berbanding model sebelumnya.
Syarikat pemula AI itu mengesahkan bahawa Grok 3 akan tersedia untuk pelanggan Premium+ di X - platform media sosial yang turut dimiliki Musk - serta menjadi sebahagian daripada langganan baharu yang dikenali sebagai SuperGrok, yang menawarkan akses melalui aplikasi mudah alih Grok dan laman sesawangnya.
Dakwaan Musk bahawa Grok mampu mengatasi ChatGPT - yang belum disahkan secara bebas - menghangatkan lagi persaingannya dengan OpenAI dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sam Altman.
Musk sebelum ini telah memfailkan dua saman terhadap OpenAI, mendakwa syarikat itu menyimpang daripada prinsip asalnya sebagai organisasi bukan berasaskan keuntungan. Minggu lepas, beliau turut membuat tawaran untuk membeli syarikat itu pada nilai US$97.4 bilion, namun ditolak oleh Altman dan Lembaga Pengarah OpenAI.
Musk, yang merupakan pengasas bersama OpenAI tetapi meninggalkan syarikat itu pada 2018 dan semakin lantang mengkritik firma berkenaan serta kepimpinannya.
Altman menolak tawaran Musk dengan menyifatkannya sebagai taktik untuk memperlahankan pesaing dalam bidang AI, yang ketika ini didominasi firma utama dari Amerika Syarikat itu. Namun, kemunculan mendadak DeepSeek bulan lepas sebagai alternatif lebih murah berpangkalan di China telah mengubah persepsi berkenaan.
Bagaimanapun, minat pelabur terhadap syarikat AI kekal tinggi, dengan laporan menyatakan OpenAI sedang berbincang untuk mendapatkan dana sekitar US$40 bilion dalam pusingan pembiayaan baharu yang akan melonjakkan nilai syarikat itu kepada kira-kira US$300 bilion.
Sementara itu, xAI dilaporkan sedang berbincang untuk memperoleh pembiayaan sekitar US$10 bilion, yang dijangka meletakkan nilai syarikat itu pada kira-kira US$75 bilion.
-- BERNAMA
