ANKARA: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, menangguhkan lawatannya ke Arab Saudi bagi mengelakkan memberikan "legitimasi" kepada mesyuarat antara pegawai Amerika Syarikat (AS) dan Rusia di Riyadh pada Selasa, menurut dua sumber yang mengetahui perkara itu kepada Reuters.

Bercakap lebih awal pada hari Selasa di Turkiye, Zelenskyy berkata, beliau telah menangguhkan lawatannya ke kerajaan itu, yang pada asalnya dirancang pada Rabu (hari ini), ke 10 Mac kerana tidak mahu sebarang "kebetulan" berlaku.

“(Ukraine) tidak mahu kelihatan memberikan sebarang legitimasi kepada apa yang berlaku di Riyadh,” kata salah satu sumber.

Di Ankara, Zelenskyy berkata, beliau tidak dijemput ke mesyuarat pada hari Selasa itu, yang melibatkan delegasi pegawai tinggi AS dan Rusia termasuk Menteri Luar kedua-dua negara.

AS dan Rusia berkata, selepas rundingan tersebut bahawa mereka telah bersetuju untuk meneruskan usaha menamatkan perang di Ukraine.

"Kami tidak mahu sesiapa pun membuat keputusan di belakang kami... tiada keputusan boleh dibuat tanpa Ukraine mengenai bagaimana untuk menamatkan perang di Ukraine," kata Zelenskyy.

Presiden AS, Donald Trump yang kembali ke White House pada 20 Januari lalu berulang kali berikrar untuk segera menamatkan perang.

Beliau telah mendesak agar rundingan damai dimulakan dengan segera, tetapi kenyataan daripada pegawai tertingginya menimbulkan persoalan mengenai rancangan sebenar beliau.

Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, memberitahu sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) minggu lalu, adalah tidak realistik bagi Ukraine untuk menyertai perikatan NATO sebagai sebahagian daripada penyelesaian rundingan dengan Rusia dan bahawa harapan Kyiv untuk memulihkan sempadan yang diiktiraf secara antarabangsa adalah "matlamat ilusi."

Hegseth dilihat menarik balik kenyataannya pada hari berikutnya, tetapi komennya menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat Ukraine bahawa AS mungkin akan menentukan nasib negara mereka tanpa penyertaan mereka.

Trump juga membuat panggilan telefon secara berasingan kepada Zelenskyy dan Presiden Rusia, Vladimir Putin, minggu lalu, menimbulkan kebimbangan di kalangan sekutu Eropah Kyiv bahawa mereka mungkin diketepikan daripada sebarang proses damai. - Reuters