NARATHIWAT (Thailand): Penyanyi wanita sohor Kelantan, Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, memberitahu dia mengalami penurunan berat badan setelah hampir empat bulan berada di Penjara Wilayah Narathiwat.

Bukan itu sahaja, Eda Ezrin berkata, dia tidak lena tidur setiap kali memikirkan hari keputusan perbicaraan pada 6 Mac ini.

"Setiap malam saya solat sunat hajat memohon pertolongan Allah untuk memudahkan urusan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Penjara Wilayah Narathiwat di sini.

Menurut ibu kepada dua anak itu, ketika ini dia sudah mampu memahami Bahasa Thai selepas mengikuti kelas.

"Dengar penghuni lain di sini bercakap, saya faham, Tetapi saya hendak bercakap tidak pandai.

"Di sini saya banyak menghabiskan masa mengaji al-Quran, belajar agama dan melakukan beberapa aktiviti lain yang disediakan," katanya.

Ujarnya, dia juga boleh memilih makanan yang ingin dimakan selain menu disediakan oleh pihak penjara.

Eda Ezrin memberitahu, dia serta penghuni lain boleh membeli makanan pelbagai menu yang dijual.

"Alhamdulillah, semuanya baik-baik di sini, banyak buat amal. Saya anggap apa yang berlaku ini adalah teguran daripada Allah, mungkin sebelum ini banyak lalai," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Eda Ezrin, suami serta empat lagi rakannya akan ditentukan pada 6 Mac ini.

Mahkamah Wilayah Narathiwat di sini pada Jumaat menetapkan tarikh tersebut sebagai keputusan kes penyanyi wanita itu bersama suami, Mohd Affendi Ahmad, 35, serta empat lagi rakan mereka iaitu Mohamad Alif Deraman, 33; Nur Aida Mamat, 33, Zuhaira Nasrin, 26, dan Erdieka Mohd Noor, 33.

Keputusan itu dibuat selepas kesemua saksi pendakwaan dan suspek selesai memberi keterangan selama tiga hari bermula pada 11, 13 dan 14 Februari. - Sinar Harian