Ringkasan AI
- FINAS akan bekerjasama dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) untuk memantau pematuhan syarat-syarat penerbitan filem atau drama, termasuk lawatan mengejut ke set penggambaran.
- Tayangan filem "Strike: Silat Cult Master" ditunda kerana syarikat produksi gagal membayar kira-kira 50 kru dan pelakon, menyebabkan FINAS mengarahkan penangguhan tayangan di 45 pawagam.
- JTK menawarkan khidmat nasihat dan guaman kepada FINAS untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan gaji pekerja produksi dan pengurusan pekerja.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata ia termasuk melakukan lawatan mengejut terhadap projek-projek filem atau drama di set lokasi penggambaran.
Beliau berkata Ketua Pengarah JTK Kamal Pardi telah menghubungnya semalam, dan menyarankan kerjasama tersebut.
"Kita akan bersama-sama turun padang, lakukan penguatkuasaan dalam beberapa aspek seperti kontrak pekerja, adakah mereka telah mohon permit (untuk mengupah) kanak-kanak sebab permit ini harus melalui JTK, serta isu-isu bayaran kepada kru," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu penundaan tayangan filem aksi terbaru, Strike: Silat Cult Master yang sepatutnya ditayang hari ini, berikutan pemilik syarikat produksi Katana Film Sdn Bhd, Mallory Lee dikatakan gagal membuat bayaran kepada kira-kira 50 kru termasuk pelakon filem berkenaan.
Azmir berkata kegagalan Mallory melunaskan bayaran kepada kru terbabit selepas tiga kali perbincangan menyebabkan pihaknya mengeluarkan arahan penangguhan sehingga isu berkenaan diselesaikan. Finas telah mengarahkan 45 pawagam di seluruh negara menunda tayangan filem tersebut hari ini.
Beliau berkata JTK juga menawarkan Finas untuk menggunakan khidmat nasihat dan guaman jabatan itu bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan gaji pekerja produksi, kaedah majikan dalam mengurus pekerja dan sebagainya.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)