SHAH ALAM: Malam kemuncak Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11) yang akan berlangsung malam ini di Auditorium MBSA, Shah Alam, bakal menjadi pentas persembahan yang penuh gilang-gemilang dengan konsep unik dan barisan artis ternama.

Menurut Penyelia Penerbit Eksekutif dan Pengarah GV11, Shaharuddin Mokhtaruddin, edisi kali ini menerapkan format tiga cabaran utama yang menjadi inspirasi daripada musim All Stars tahun lalu.

“Untuk final, setiap peserta akan melalui tiga cabaran iaitu persembahan solo, duet dan rap battle. Rap battle itu memang konsep yang sangat dinantikan peminat dan hanya diadakan semasa final,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa segmen duet akan menampilkan kelainan dengan gabungan penyanyi legenda dan bintang terkenal dari Indonesia, Singapura, serta Malaysia. Antara nama besar yang bakal beraksi termasuk Datuk Jamal Abdillah, Krisdayanti, Pasha Ungu dan Taufik Batisah.

“Konsep duet kali ini ditambah baik dan dijangka memberikan kejutan istimewa kepada peminat. Semua kena tunggu untuk menyaksikan keunikan segmen ini,” tambahnya.

Selain itu, Shaharuddin turut menyatakan bahawa jenama Gegar Vaganza terus kukuh sebagai platform utama dalam industri hiburan, dengan rancangan untuk meneruskan musim-musim baharu pada masa hadapan.

Jaclyn Victor: “Gegar Vaganza Ubah Hidup Saya”

Juara GV musim ke-9 dan GV All Stars, Jaclyn Victor, turut berkongsi pengalaman peribadinya tentang bagaimana GV menjadi platform yang mengubah perjalanan kariernya.

“Bagi saya, ini adalah pentas yang besar dan peluang terbaik untuk penyanyi memperkenalkan diri kepada penonton baharu, terutama generasi muda. Saya sendiri rasa hidup saya berubah selepas bertanding di GV,” katanya.

Beliau turut menggalakkan para peserta dan artis lain untuk memanfaatkan peluang ini. “Terima ini sebagai cabaran untuk belajar dan berkembang. Ia adalah tempat yang menakjubkan untuk mencabar diri dan mengukuhkan nama dalam industri.”

Senarai Lagu dan Artis Undangan Final GV11

Pada malam ini, enam finalis GV11 akan berduet dengan penyanyi undangan bagi mempersembahkan lagu-lagu popular:

Dadali Dyrga & Datuk Jamal Abdillah – Kekasih Awal dan Akhir
Liza Aziz & Krisdayanti – Cinta
Shiela Abdull & Taufik Batisah – Aku Bersahaja
Ning Baizura & Pasha Ungu – Terlanjur Cinta
The Lima & Dolla – Bye Bye Bye
Zehra Zambri & Jaclyn Victor – Beribu Sesalan

GV11 yang dikendalikan oleh hos Nabil Ahmad dan Sherry Al-Hadad telah bersiaran selama 12 minggu dengan barisan juri tetap seperti Hetty Koes Endang, Datuk Syafinaz Selamat, dan Datuk Ramli M.S.

Siapakah yang bakal dinobatkan sebagai juara? Nantikan malam penuh prestij ini untuk menyaksikan kehebatan para finalis yang bakal mencipta sejarah di pentas Gegar Vaganza.

Para peminat “Vaganzers” boleh menyaksikan Pentas Akhir Gegar Vaganza 2024 secara langsung di Astro Ria atau strim di Astro GO dan Sooka.