Pelakon dan pengarah, Bront Palarae di media sosialnya, menyifatkan situasi itu menyumbang kepada trend bakat tempatan keluar mencari peluang di luar negara.
"Menarik bagaimana skandal kewangan tertentu tahun lalu menyebabkan setiap lembaga GLC di Malaysia menjadi terlalu berhati-hati dan teragak-agak untuk melabur dalam bakat tempatan.
"Namun, sayangnya, kisah peringatan ini juga menyumbang kepada peningkatan trend rakyat Malaysia yang berbakat mencari peluang di luar negara.
"Tetapi secara peribadi, filem Dawn Raid telah menjadi satu perjalanan penuh pembelajaran dan kerjasama bermakna dengan individu yang hebat," katanya.
Pemilik rumah produksi Pixel Play itu berkata, dia mengambil pengajaran dan persahabatan sepanjang proses pembikinan filem Dawn Raid, sebuah filem diangkat daripada peristiwa bersejarah iaitu Guthrie Dawn Raid atau Serangan Subuh Guthrie pada 1981.
Dalam pada itu, Pixel Play Entertainment dalam satu hantaran mengumumkan filem Dawn Raid tidak akan diteruskan seperti yang dirancang.
Kata kenyataan, meskipun usaha gigih pasukan dan sokongan ramai pihak berkepentingan, pihak Pixel Play tidak berjaya mendapatkan pembiayaan yang diperlukan daripada SD Guthrie (dahulu Sime Darby), yang selama ini menjadi pemberi dana berpotensi.
Keputusan Lembaga SD Guthrie untuk tidak membiayai projek ini menandakan penghujung perjalanan selepas lebih sedekad berusaha.
Sementara itu, pihak Pixel amat berterima kasih kepada pengurusan SD Guthrie atas sokongan awal mereka serta bantuan dalam menyediakan dokumen yang diperlukan untuk pertimbangan Lembaga pengarah.
Sementara itu, pihak Pixel juga turut berterima kasih kepada rakan kongsi yang dihormati, terutamanya FINAS dan Refinery Media (Singapura) atas kepercayaan dan keyakinan yang telah diberikan sebelum ini.
Pada 2018, Bront berhasrat mengumpul dana RM2 juta hasil sumbangan orang ramai untuk membiayai projek filem arahannya berjudul Dawn Raid.
