Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 67, berkata konsert berkenaan akan menjadi detik penting dalam sejarah kerjaya seninya selepas lebih empat dekad berkelana dalam industri muzik.
Katanya, beliau kini sudah bersedia untuk menampilkan sisi berbeza dalam kariernya selepas beberapa kali menolak pelawaan mengadakan konsert solo sebelum ini.
"Tidak dinafikan memang ramai yang menawarkan saya menjayakan konsert solo, tapi saya selalu beri alasan belum bersedia. Selain itu, banyak faktor yang menjadi kekangan, antaranya sebelum ini saya terlalu sibuk bersama Search jadi saya tidak mahu mengganggu jadual bersama mereka.
"Tahun lepas saya terima tawaran ini yang datang daripada pengarah konsert Jennifer Thompson, saya terus terima kerana saya mahukan barisan tenaga kreatif yang cukup berpengalaman dan bukan tangkap muat," katanya selepas sidang media konsert itu, di sini semalam.
Katanya, lagu-lagu yang bakal dinyanyikannya pada konsert itu adalah cerminan suka dukanya selama lebih empat dekad dalam industri muzik tanah air.
Ditanya sebab beliau mengambil masa yang lama untuk mengadakan konsert solo, Amy berkata beliau memerlukan masa yang tepat sebelum membuat keputusan besar seperti itu.
"Saya perlukan orang yang tepat dan waktu yang tepat sebelum setuju untuk menjayakan konsert. Melalui konsert solo ini, saya ingin mempersembahkan bukan saja muzik tetapi juga jiwa saya.
"Siapa produser konsert adalah penting untuk saya. Dia perlu memahami latar belakang saya," katanya.
Sementara itu, Thompson berkata barisan pemuzik yang bakal mengiringi Amy pada konsert berkenaan adalah antara yang terbaik dalam industri.
"Penonton bakal disajikan dengan perjalanan karier Amy sepanjang lebih empat dekad yang kaya dengan pelbagai lagu hit dan kenangan manis. Kami berjanji untuk menghadirkan pengalaman yang penuh emosi dan keajaiban buat peminat," katanya.
Tiket untuk konsert ini akan dijual bermula 5 Feb 2025 di www.wowtix.com.my.
-- BERNAMA