SHAH ALAM: Liza Aziz mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menewaskan lima finalis lain untuk merangkul gelaran juara Gegar Vaganza Musim Ke-11 (GV11) yang berlangsung penuh meriah di Auditorium MBSA, Shah Alam, malam tadi.

Kemenangan itu melayakkan beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi, sekali gus menutup tirai perjalanan 12 minggu GV11 dengan penuh gilang-gemilang.

Dalam aksi pusingan akhir, Liza memukau juri dengan persembahan mantap lagu I Surrender, diikuti segmen duet bersama Krisdayanti menerusi lagu Cinta, sebelum menutup pentas dengan penuh tenaga dalam pusingan battle melalui lagu Angkat.

Menurut Liza, kemenangan ini merupakan hasil daripada kerja keras sepanjang pertandingan, selain peluang untuk bergandingan dengan nama besar seperti Krisdayanti menjadi salah satu momen paling berharga dalam kariernya.

“Alhamdulillah, malam ini semuanya berjalan lancar. Berduet dengan Krisdayanti adalah impian saya sejak dahulu. Ia bagaikan hadiah istimewa buat diri saya. Segala usaha keras selama tiga bulan ini akhirnya membuahkan hasil,” ujar Liza dengan penuh syukur.

Beliau turut menambah bahawa perjalanan untuk bergelar juara bukanlah sesuatu yang mudah, namun dedikasi dan disiplin tinggi menjadi kunci kejayaannya.

“Ramai orang mungkin fikir menjadi juara itu mudah, tetapi ia menuntut banyak usaha. Saya sentiasa mencabar diri untuk memberikan yang terbaik setiap minggu, dan kemenangan ini adalah bukti kerja keras saya,” katanya.

Kedudukan Finalis dan Persembahan Malam Final

Di tempat kedua, Ning Baizura membawa pulang wang tunai RM50,000, diikuti Sheila Abdull di tempat ketiga dengan hadiah RM30,000.

Dadali Dyrga menduduki tempat keempat dan membawa pulang RM20,000, manakala Zehra Zambri meraih tempat kelima dengan hadiah RM15,000. Trio Indonesia, The Lima, melengkapkan senarai dengan tempat keenam dan membawa pulang RM10,000.

Liza turut menerima Anugerah Terpaling Adabi, yang memberikan tambahan hadiah wang tunai RM3,000.

Reaksi Peminat 'Vaganzers' dan Kejutan di Pentas Final

Kemenangan Liza mendapat sokongan penuh komuniti peminat setia Gegar Vaganza, atau dikenali sebagai ‘Vaganzers’.

Menurut Nurzana Malek, atau lebih mesra dipanggil Acu, kemenangan Liza adalah sangat layak.

“Perasaan teramat puas hati sebab Liza Aziz adalah seorang anak seni yang sewajarnya bakat beliau didendang sejak kian lama. Terima kasih Astro mengembalikan bintang ini untuk kembali menyengat,” katanya.

Beliau turut memuji keenam-enam peserta yang memberikan saingan sengit dan menunjukkan dedikasi tinggi sepanjang malam final.

“Kesemua finalis memberikan persembahan luar biasa. Ning Baizura dan Zehra Zambri menunjukkan daya juang yang tinggi, sementara Sheila Abdull dan Dadali Dyrga juga tidak kurang hebat. Secara keseluruhan, malam ini hampir sempurna,” tambahnya.

xxx

GV11 yang bersiaran langsung selama 12 minggu telah berjaya mengekalkan reputasinya sebagai salah satu pentas seni paling berprestij.

Dikendalikan oleh hos Nabil Ahmad dan Sherry Al-Hadad, serta diadili oleh juri tetap seperti Hetty Koes Endang, Datuk Syafinaz Selamat, dan Datuk Ramli M.S., GV11 menjadi platform buat artis untuk menghidupkan kembali nama mereka dalam industri.

Dengan tirai yang telah dilabuhkan, Gegar Vaganza terus membuktikan keunggulannya sebagai rancangan yang mengangkat martabat seni dan bakat tempatan ke tahap lebih tinggi.

Fenomena Menyengat GV11 di Media Sosial

GV11 menjadi rancangan yang paling mendapat perhatian dengan kedudukan sebutan (mentions) hashtag tertinggi seperti #GegarVaganza2024 menduduki tempat pertama dengan 176,000 sebutan, diikuti #GV11 di tempat kedua dengan 159,000 sebutan dan #Vaganzers di tempat ketiga dengan 85,000 sebutan di platform X selain meraih jumlah tontonan sebanyak 1 bilion di Tik Tok.

Program ini juga telah mencetuskan fenomena diskusi peminat di media sosial yang membuktikan dominasi GV11 sebagai rancangan paling banyak diperkatakan di kalangan peminat 'Vaganzers' sepanjang konsert akhir.

Fenomena ini turut dikuatkan dengan sokongan pempengaruh, interaksi aktif peminat, dan keterlibatan konsisten yang menjadikan GV11 bukan sahaja rancangan paling ditonton tetapi juga paling banyak diperbincangkan di media sosial.

xxx

Sumber: Brandwatch & Tik Tok