KUALA LUMPUR: Pelakon veteran, Roslan Saleh, 69, meninggal dunia pada pagi Jumaat.

Perkhabaran duka itu dikongsikan anaknya, Farahanis Roslan, dalam satu catatan di laman media sosial Facebook.

“Dukacita dimaklumkan bahawa ayahanda saya Roslan Saleh baru saja meninggal dunia sebentar tadi,” katanya.



Difahamkan jenazah Allahyarham Roslan akan dibawa ke Masjid Kampung Rantau Panjang, Masjid Tanah, Melaka, untuk dimandi dan dikafankan serta disembahyangkan sebelum dikebumikan dijangka selepas solat Jumaat.

Media sebelum ini melaporkan kesihatan Roslan yang mesra disapa sebagai Pak Lan terjejas akibat penyakit diabetes kronik, kira-kira empat tahun lalu.

Isterinya, Zainun Majid, 56, berkata, kesihatan Roslan tidak banyak berubah sejak terlantar di rumah.

Roslan yang sudah lebih 30 tahun terbabit dalam industri lakonan pernah membintangi banyak drama dan filem popular antaranya Sembilu 2, Gerak Khas The Movie 2, Munafik 2, Anak Perjanjian Syaitan dan Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda.

Roslan bagaimanapun tidak lagi aktif dalam dunia lakonan selepas mengalami masalah kencing manis dan diabetes.