Allahyarham Emilia meninggal dunia pada usia 67 tahun.
Media Indonesia melaporkan Allahyarham menghidap penyakit kencing manis yang sudah lama ditanggungnya.
Emilia atau nama sebenarnya, Nur Indah Citra Sukma Hati, memulakan karier seninya pada usia kanak-kanak.
Penghijrahan dari Surabaya ke Jakarta sekitar 1970-an mengubah nasibnya dalam bidang seni sehingga menempa kemasyhuran.
Allahyarham juga pernah berhijrah ke Singapura dalam usaha meluaskan karier seninya dan menetap selama setahun di negara jiran itu.
Kehebatan dan keunikan vokal dimiliki Allahyarham Emilia menyebabkan beliau pernah mendapat perhatian meluas media antarabangsa, termasuk majalah Asia Week (1975) yang pernah member0inya gelaran Singa Panggung Asia.
Dilahirkan pada 27 September 1957, Allahyarham Emilia pernah disenaraikan satu daripada lima artis popular dunia oleh New York Times
Emilia juga pernah ditawarkan biasiswa untuk belajar vokal di Amerika Syarikat (AS), namun Allahyarham terpaksa menolak kerana terikat dengan kontrak nyanyian di sebuah kafe di Jakarta.
Biarpun terlepas peluang itu, Allahyarham bagaimanapun pernah melebarkan kerjaya seninya ke benua Eropah dan AS.
Antara lagu yang melonjakkan nama Emilia di persada seni ialah Angin November, Flamboyan, Biarlah Sendiri, Bunga Mawar, Melati, Rindu, Bunga Anggerek, Penasaran, Kehancuran, Layu Sebelum Berkembang dan Angin Malam.
Allahyarham Emilia juga pernah merakamkan lagu Dari Jauh bersama penyanyi Malaysia yang juga peserta Gegar Vaganza, Liza Aziz pada sekitar 1990-an.
