SELEPAS kecoh sejak semalam berkenaan isu membabitkan penyingkiran dua anggota asal yang juga selama ini menjadi tulang belakang kumpulan IKLIM iaitu Umarul dan Mohalim, hari ini timbul pula pengumuman pembubaran kumpulan tersebut oleh Mohalim.


Ringkasan AI
  • Dua anggota asal kumpulan IKLIM, Umarul dan Mohalim, disingkirkan tanpa persetujuan mereka, menyebabkan kekecohan.
  • Mohalim mengumumkan pembubaran IKLIM sebagai jalan terbaik untuk mengatasi kemelut yang melanda.
  • Mohalim menyatakan kekecewaannya terhadap tindakan dua anggota lain yang membuat keputusan tanpa perbincangan dan persetujuan.


Pemain bass dan juga ketua kumpulan yang pernah popular dengan 'Suci Dalam Debu' itu ketika dihubungi oleh Astro AWANI menjelaskan bahawa penyingkiran mereka dibuat oleh dua anggota IKLIM yang lain tanpa persetujuan dan sebarang perbincangan bersamanya dan Umarul.

Jelas Mohalim, pembubaran IKLIM adalah jalan terbaik ketika ini memandangkan kemelut yang melanda (pemecatan) adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku dan di luar jangkaan, selain ia bukanlah direstui oleh kedua-dua mereka.

"Kama dan Zali tidak pernah hadir berbincang tentang sebarang perkara membabitkan sebarang hasrat untuk memecat mereka sebelum ini, dan keputusan tersebut dibuat di luar pengetahuan kami berdua.

"Malah saya selaku ketua kumpulan IKLIM seharusnya diberitahu tentang hal ini, namun mereka menafikan semua itu dan bertindak mengikut kehendak mereka sahaja," kata Mohalim dengan nada kesal.

Mohalim menjelaskan ketika kali terakhir mereka bertemu sebelum ini juga tidak timbul sebarang isu atau perbincangan membabitkan hasrat untuk menyingkirkan mereka.

"Jika faktor kesihatan dijadikan sebab kepada penyingkiran ini, ia sepatutnya dibincangkan atau dimaklumkan, sedangkan saya dan Umarul sebenarnya masih lagi bergiat aktif.

"Malangnya mereka membelakangi kami selaku anggota asal dan ketua kepada kumpulan ini, dan kami telah banyak menyumbang kepada IKLIM sejak ia ditubuhkan sekian lama.

"Justeru, keputusan sendiri yang dibuat oleh mereka berdua sangat dikesali dan tidak sepatutnya berlaku," jelas Mohalim lagi.

Tiada isu perbalahan antara ahli IKLIM sebelum ini.

Menurutnya, hasrat untuk membubarkan IKLIM ini sebenarnya sudah pun dibincangkan bersama Umarul, dan mereka berdua menganggap ia adalah jalan terbaik ketika ini.

IKLIM ditubuhkan sekitar 80an dan pernah mewarnai dunia hiburan tanah air melalui beberapa album yang menjadi siulan ramai pada era 80an dan 90an.

Malah, lagu-lagu lantunan mereka dijulang begitu tinggi sehingga mampu muncul selaku juara di pelbagai pertandingan berprestij di negara ini.

Selain Allahyarham Saleem, Umarul dan Mohalim dianggap individu yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan IKLIM sepanjang pembabitan mereka dalam dunia hiburan tanah air.

Umarul merupakan antara komposer dan pencipta lagu IKLIM yang mempopularkan kumpulan itu di mana lagu-lagu ciptaannya sentiasa sahaja mendapat tempat di hati peminat setia mereka.

Saleem meninggal dunia pada 14 Oktober 2018 di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Karya IKLIM selepas itu diteruskan lagi oleh anggota kumpulan tersebut menerusi persembahan yang diadakan dengan menjadikan Azmani dan Syafiq Farhain selaku penyanyi gantian.

Walaupun tidak lagi mengeluarkan sebarang lagu baharu atau album, namun IKLIM masih lagi dihormati dan masih diminati oleh peminat setia mereka.