SHAH ALAM: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama pelakon dan penyanyi, Bella Astillah mencuri perhatian ramai selepas mengadakan sesi siaran langsung di TikTok malam tadi.

Dalam sesi itu, mereka berdua dilihat memasak lasagna dan puding karamel bersama, sambil berinteraksi dengan penonton secara santai dan menghiburkan.

Siaran langsung lebih dari satu jam itu berjaya menarik kira-kira satu juta tontonan dan menerima lebih 13 juta tanda suka.

Sepanjang sesi tersebut, pelbagai momen lucu dan spontan berlaku, termasuk perbincangan tentang resipi serta detik-detik Syed Saddiq dan Bella saling mengusik satu sama lain.

Beberapa kesilapan kecil berlaku, terutama dalam proses memasak gula karamel, yang menyebabkan mereka perlu mencuba beberapa kali.

Ketika menikmati puding yang dimasak, Bella sempat berseloroh kepada Syed Saddiq.

"Kalau sedap, ini air tangan Bella. Kalau tak sedap, salahkan resepi!" katanya sambil ketawa kecil.

Syed Saddiq pula membalas kata-kata Bella dengan pujian.

"Puding ni memang terbaik. Jujur, saya tak letak harapan tinggi masa tengok Bella buat tadi, tapi lepas rasa, memang luar biasa!"ujarnya

Namun, yang lebih mencuri perhatian ialah rata-rata netizen yang membanjiri ruangan komen dengan doa dan harapan agar kedua-duanya berkahwin.

Tidak kurang juga yang menyatakan mereka serasi dan berharap pasangan itu mendirikan rumah tangga.

Sehingga kini, kedua-dua mereka belum memberikan sebarang respon terhadap reaksi netizen.

Namun, siaran langsung mereka itu jelas menghiburkan ramai dan terus menjadi bualan hangat di media sosial. - Sinar Harian