PELAWAK senior yang juga anggota kumpulan Senario, Azlee akhirnya berkongsi khabar gembira mengenai sahabatnya, Yassin Yahya atau Yassin Senario.

Menurut Azlee atau nama sebenarnya Azlee Jaafar, 57, isteri Yassin, Farah Waheeda Maharidan memaklumkan pelawak, pelakon dan penyanyi itu kini berada dalam keadaan baik.

“Saya tidak dapat menghubungi Yassin, tetapi isteri dia beritahu Yassin berada dalam keadaan sihat. Doakan yang baik-baik buat Yassin.

“Tunggu khabar gembira beberapa minggu lagi, kita akan bersama dengan dia. Doakan semoga dia akan bersama dengan kami,” ujarnya.

Azlee berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pengumumannya sebagai Duta Bazaar Raya Shah Alam 2025 di Kelab Shah Alam, Selangor pada Selasa.

Enggan mengulas lanjut mengenai keberadaan Yassin, 46, Azlee bagaimanapun meluahkan rasa cemburu kerana adik bongsu dalam Senario itu berada di tempat yang lebih baik.

“Saya sedih sebab kita akan berpuasa di sini, tetapi dia berpuasa ‘di sana’. Beruntung dia kerana itu salah satu rahmat juga.

“Dia pun sedang menambah ilmu, ilmu ALLAH ini banyak yang perlu kita tambah. Jadi dia sedang menuntut ilmu, mana tahu nanti dia pulang, dia ajar kita pula.

“Tidak kisahlah di mana dia berada, sekali lagi doakan yang baik-baik,” jelasnya.

Dalam pada itu, bintang Rumah Maduku Berhantu tersebut turut berkongsi khabar gembira mengenai perkembangan kumpulan Senario yang akan mengadakan konsert di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada Oktober depan.

Artikel ini diterbitkan di portal Sinar Harian