IPOH: Sebanyak 1,404 anggota polis dikenakan hukuman tatatertib sepanjang tahun lepas, kata Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Seri Azri Ahmad.

Beliau berkata daripada jumlah itu 799 diberikan amaran, denda (256 orang), buang kerja (164 orang), dilucut hak emolumen (122 orang), diturunkan pangkat (32 orang), ditangguhkan pergerakan gaji (16 orang) dan turun gaji (15 orang).

"Walaupun bilangannya hanya membabitkan satu peratus daripada jumlah keseluruhan anggota di negara ini namun hukuman tatatertib yang tegas tetap kita laksanakan.

"Usaha untuk membetulkan anggota polis ini dibuat secara berterusan dan hukuman bukan hanya berasaskan sabitan mahkamah tetapi juga jika mereka tidak hadir tugas, langgar prosedur operasi standard (SOP) dan sebagainya," katanya.

Azri berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Perak dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Perak di sini hari ini.

Beliau berkata jumlah keseluruhan anggota polis dibuang kerja bukan hanya melibatkan kesalahan rasuah, narkotik dan jenayah komersial sahaja, sebaliknya turut membabitkan perkara berkaitan integriti serta tatakelola dengan hukuman itu dilaksanakan mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Selain itu Azri menafikan kebanyakan kes salah laku anggota polis dibanteras melalui laporan atau bukti dibongkarkan portal berita tertentu.

"Kebiasaannya laporan melalui portal ini tidak mempunyai asas, sebaliknya lebih kepada tohmahan selain tidak mempunyai perincian pengaduan.

"Kita pernah siasat pengaduan seumpama ini, namun apabila sampai ke peringkat seterusnya kes berkenaan digugurkan dan dari situ, kita dapat lihat ia membazir masa dan tenaga," katanya.

Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Noor Hisam Nordin dilantik sebagai Ketua Polis Perak berkuat kuasa hari ini, mengambil alih jawatan itu daripada Timbalan Ketua Polis Perak DCP Zulkafli Saariat yang memangku jawatan tersebut sejak 8 Nov lepas.

Noor Hisam, 58, dalam ucapannya menyifatkan tanggungjawab diamanahkan kepadanya amat berat dan besar, namun akan digalas sebaiknya bagi memastikan keselamatan rakyat sentiasa berada pada tahap terbaik.

Anak jati Ipoh dengan 36 tahun pengalaman dalam kepolisan itu berharap semua warga PDRM di Perak membantu beliau bagi memastikan perkara tersebut sentiasa diberi keutamaan dan penekanan.

-- BERNAMA