Skip to main content

Malaysia

106,435 murid nikmati sarapan percuma NutriSel bermula semalam

[TB]_NutriSel_PINS
NutriSel merupakan sebahagian daripada Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor yang dibentangkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari pada Mesyuarat Khas Dewan Negeri Selangor (DNS) Jun lepas - Foto PiNS
Advertisement

KUALA LUMPUR: Seramai 106,435 murid daripada isi rumah berpendapatan bawah RM2,000 di Selangor mula menerima manfaat Program NutriSel, inisiatif Kerajaan Negeri Selangor bagi memastikan golongan berkenaan mendapat akses kepada pemakanan yang berkualiti.

Program yang bermula semalam dan berlangsung sehingga Oktober ini melibatkan peruntukan RM14.4 juta, dengan pelaksanaan secara menyeluruh di 962 sekolah di seluruh negeri.

NutriSel dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor dan pihak berkuasa tempatan (PBT), sebagai usaha membantu meringankan beban keluarga, selain memastikan kebajikan dan keperluan pemakanan murid diberi perhatian.

Inisiatif itu turut mendapat reaksi positif warganet di platform Threads, menyifatkan pelaksanaan program berkenaan sebagai contoh tadbir urus yang baik kerana dasar yang diperkenalkan memberi manfaat secara langsung kepada keluarga.
 
“Inilah contoh tadbir urus yang baik. Dasar yang dilaksanakan secara langsung membantu meringankan beban keluarga.

“Kanak-kanak mendapat pemakanan yang lebih baik, ibu bapa dapat menjimatkan perbelanjaan, manakala murid boleh memberi lebih tumpuan kepada pembelajaran,” tulis pengguna Threads dikenali sebagai gsivamalar.

Sementara itu, bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik turut menyambut baik pelaksanaan inisiatif berkenaan dengan mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Selangor.

“Tahniah Selangor!!!

“Insya-Allah saya akan utarakan agar Johor juga dapat mengusahakan inisiatif yang serupa demi pembangunan dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu hantaran di Threads.

NutriSel merupakan sebahagian daripada Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor yang dibentangkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari pada Mesyuarat Khas Dewan Negeri Selangor (DNS) Jun lepas.

Pakej berkenaan diperkenalkan sebagai tindak balas Kerajaan Negeri terhadap cabaran peningkatan kos susulan gangguan rantaian bekalan serta ketidaktentuan pasaran tenaga global.

Melalui NutriSel, kerajaan negeri memberi penekanan terhadap aspek pemakanan murid, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah, supaya kekangan ekonomi tidak menjadi penghalang kepada mereka untuk mendapatkan makanan yang berkhasiat ketika berada di sekolah.

Pelaksanaan program itu juga dilihat dapat membantu mengurangkan beban perbelanjaan harian keluarga, selain memberi peluang kepada murid memulakan sesi persekolahan dengan pemakanan yang lebih baik.

Must Watch Video

Advertisement