KULIM: Seramai 12 individu termasuk kanak-kanak dan bayi diselamatkan anggota bomba selepas terperangkap di dalam lif di sebuah hotel di Kulim malam tadi.

Ketua Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kulim, Penolong Penguasa Bomba, Hamizul Azwan Hamdan berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian daripada pihak hotel pada jam 9.26 malam.

Beliau berkata, sepasukan anggota bersama jentera dikejarkan ke lokasi.

“Setiba di lokasi, bomba mendapati terdapat mangsa yang terperangkap di dalam lif di aras 1 hotel.

“Sebaik pintu lif berjaya dibuka, bomba membantu mengeluarkan dua lelaki dewasa, enam wanita dewasa, tiga kanak-kanak lelaki dan perempuan serta seorang bayi perempuan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Hamizul berkata, semua mangsa dalam keadaan selamat dan tiada yang mengalami sesak nafas.

Foto JBPM Kedah