Skip to main content

Malaysia

160,000 pembayar cukai dikecualikan boleh pilih teruskan penggunaan e-Invois

Chin Tong berkata, mereka merupakan sebahagian daripada 1.1 juta pembayar cukai dalam kalangan PMKS dengan jualan tahunan RM3 juta ke bawah yang kini dikecualikan daripada pelaksanaan e-Invois. - Foto BERNAMA
Chin Tong berkata, mereka merupakan sebahagian daripada 1.1 juta pembayar cukai dalam kalangan PMKS dengan jualan tahunan RM3 juta ke bawah yang kini dikecualikan daripada pelaksanaan e-Invois. - Foto BERNAMA

Advertisement

Ringkasan AI

  • Kira-kira 160,000 pembayar cukai yang kini dikecualikan boleh memilih sama ada mahu meneruskan penggunaan sistem e-Invois atau tidak.
  • Pelaksanaan e-Invois bukan bertujuan meningkatkan jumlah cukai, sebaliknya untuk memudahkan urusan pematuhan cukai bagi PMKS.
  • Kerajaan sedang berusaha mengurangkan birokrasi dan beban pematuhan cukai, serta berharap Belanjawan akan datang dapat membantu PMKS menghadapi cabaran.

KUALA LUMPUR: Kira-kira 160,000 pembayar cukai yang telah mendaftar e-Invois tetapi kini termasuk dalam kumpulan yang dikecualikan, boleh memilih sama ada mahu meneruskan penggunaan sistem itu atau sebaliknya.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, mereka merupakan sebahagian daripada 1.1 juta pembayar cukai dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan jualan tahunan RM3 juta ke bawah yang kini dikecualikan daripada pelaksanaan e-Invois.

“Mereka (pembayar cukai) boleh pilih teruskan atau tidak,” katanya di Dewan Rakyat ketika menjawab soalan tambahan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) di Dewan Rakyat hari ini.

Jimmy meminta kerajaan menjelaskan jumlah entiti perniagaan yang dikecualikan susulan kenaikan ambang pelaksanaan e-Invois kepada RM3 juta serta kesannya terhadap potensi kutipan hasil negara.

Dalam pada itu Chin Tong turut menegaskan pelaksanaan e-Invois bukan bertujuan untuk meningkatkan jumlah cukai yang dikenakan.

Menurutnya, persoalan mengenai kesan pengecualian itu terhadap potensi kutipan hasil tidak timbul kerana e-Invois bukan sistem yang diwujudkan untuk menambah cukai.

Dalam pada itu, Chin Tong mengakui pematuhan cukai merupakan antara cabaran yang dihadapi PMKS dan kerajaan sedang berusaha mengurangkan birokrasi serta beban pematuhan terhadap golongan berkenaan.

Beliau berkata, PMKS turut berdepan pelbagai cabaran lain termasuk kemasukan produk dari luar serta peralihan perniagaan daripada kedai fizikal kepada platform dalam talian.

Justeru, katanya, kerajaan berharap Belanjawan akan datang dapat mengurangkan beban serta meningkatkan daya tahan PMKS dalam menghadapi cabaran berkenaan.


 

Must Watch Video

Advertisement