Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, 75, yang juga Pengerusi 1MDB dari 2009 hingga 2016 itu berkata beliau tidak pernah dimaklumkan dan tiada siapa dalam kalangan pengurusan yang memberitahunya bahawa Jho Low mempunyai pengaruh sedemikian.
Bagaimanapun, ketika merujuk pada minit mesyuarat khas Lembaga Pengarah 1MDB, Che Lodin berkata Jho low dan rakan kongsinya Casey Tang Keng Chee telah dijemput menghadiri mesyuarat berkenaan atas jemputan pihak pengurusan, bukan Lembaga Pengarah.
"BOD dimaklumkan bahawa Jho Low mewakili keluarga diraja Arab Saudi tapi kehadirannya adalah sebentar sahaja, dan beliau meninggalkan mesyuarat selepas menyampaikan salam daripada keluarga diraja Saudi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membacakan penyataan saksi setebal 200 muka surat sebagai saksi pembelaan ke-12 dalam perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.
Ketika ditanya oleh peguam mewakili Najib, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, saksi itu menjelaskan bahawa beliau tidak membuat sebarang perjanjian atau persefahaman dengan Najib untuk bertindak sebagai wakil beliau dalam Lembaga Pengarah.
Wan Azman Aiman: Adakah pernah dimaklumkan kepada kamu bahawa Jho Low merupakan proksi bagi Datuk Seri Najib?
Che Lodin: Tidak.
Perbicaraan hari ini ditangguhkan lebih awal kerana pihak pembelaan dan pendakwaan mempunyai urusan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Pada 30 Okt tahun lepas, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Najib untuk membela diri selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadapnya.
Najib, 71, berdepan 25 pertuduhan termasuk empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan RM2.3 bilion dana 1MDB sebagai rasuah dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Perbicaraan bersambung esok.
-- BERNAMA
