KUALA LUMPUR: Seramai 21 individu termasuk empat orang yang dipercayai dalang utama sindiket penipuan cinta dalam talian (love scam) ditahan dalam operasi khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Nilai, Negeri Sembilan, pada Rabu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi bermula jam 5.55 petang itu dilaksanakan hasil risikan selama sebulan serta maklumat yang diterima daripada orang awam.
Menurutnya, operasi membabitkan pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas bersama Bahagian Keselamatan dan Pasport, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
“Pasukan operasi yang digerakkan ke KLIA menahan seorang lelaki tempatan dipercayai ahli sindiket bersama seorang lelaki dan seorang wanita warga China berusia antara 50 hingga 53 tahun.
“Hasil soal siasat ke atas mereka membawa pasukan operasi ke sebuah kediaman di Taman Desa Melati, Nilai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata, pihaknya mengenal pasti empat individu dipercayai dalang utama sindiket terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita warga China serta seorang wanita warga Rusia.
Selain itu, sembilan lelaki dan seorang wanita warga China turut ditahan, bersama seorang lelaki warga Vanuatu, seorang lelaki warga Pakistan, serta masing-masing seorang wanita warga India dan Myanmar.
Semakan awal mendapati semua warga asing yang ditahan di kediaman berkenaan memasuki Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS).
Beliau berkata, sindiket beroperasi di sebuah kediaman mewah di kawasan terpencil yang dijadikan pusat penipuan dalam talian dengan menggunakan aplikasi Telegram dan WhatsApp untuk memperdaya mangsa menerusi taktik love scam dan penjualan barangan palsu.
“Ahli sindiket menggunakan skrip yang disediakan bagi memperdayakan mangsa di luar negara dan diberikan komisen berdasarkan jumlah mangsa yang berjaya diperdaya,” katanya.
Menurut beliau, sindiket itu dipercayai mampu menjana keuntungan sehingga AS$50,000 (RM202,280) sebulan dan telah beroperasi sejak awal tahun ini.
Siasatan awal turut mendapati sindiket menguruskan kemasukan warga asing ke Malaysia dengan menyasarkan warga China yang disenarai hitam oleh JIM.
Dua warga China yang ditahan di KLIA dipercayai memiliki pasport dipercayai palsu dengan nombor berbeza bagi mengelakkan sekatan kemasukan.
“Pasport yang tidak disenarai hitam digunakan untuk melepasi pemeriksaan e-Gate di KLIA. Bagaimanapun, pemeriksaan menemui pasport yang disenarai hitam di dalam beg mereka,” katanya.
Lelaki tempatan yang ditahan pula dipercayai berperanan menghantar dua warga China terbabit ke lokasi ditetapkan dengan bayaran antara RM150 hingga RM500 seorang bergantung kepada destinasi.
Dalam operasi di KLIA, JIM menyita empat pasport China, empat telefon bimbit dan sebuah Proton X70 yang dipercayai digunakan sindiket.
Sementara itu, pemeriksaan di kediaman di Nilai membawa kepada rampasan 28 pasport China serta masing-masing satu pasport Myanmar, India, Vanuatu dan Rusia.
Turut disita 11 set komputer meja, sebuah komputer riba, 40 telefon bimbit dan wang tunai RM4,800 yang dipercayai hasil kegiatan sindiket.
Zakaria berkata, lelaki tempatan dan empat dalang utama ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.
Manakala warga asing lain ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) akta sama serta Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Semua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut,” katanya.