Ringkasan AI
- Seramai 2,200 peserta tempatan dan antarabangsa menyertai Taiping Heritage Ride 2026 untuk mempromosikan bandar warisan itu sebagai produk pelancongan utama Perak.
- Acara edisi ketiga ini menawarkan 300 slot percuma kepada pelajar sekolah dan merangkumi tiga kategori jarak kayuhan bermula dari Dataran Warisan Taiping.
- Penganjuran ini memberi impak positif kepada ekonomi tempatan, termasuk sektor penginapan, makanan, penjaja kecil dan pengangkutan awam sekitar Taiping.
TAIPING: Sebanyak 2,200 peserta dari dalam dan luar negara menyertai Taiping Heritage Ride 2026 yang dianjurkan bagi mempromosikan keindahan bandar warisan itu sebagai antara produk pelancongan utama di Perak.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata daripada jumlah itu, sebanyak 300 slot penyertaan disediakan secara percuma, khusus kepada pelajar sekolah berumur 7 hingga 17 tahun bagi membudayakan gaya hidup sihat.
Beliau berkata acara yang memasuki edisi ketiga itu dibahagikan kepada tiga kategori membabitkan jarak 90 kilometer (km), 65 km dan 17 km bermula dari Dataran Warisan Taiping mengelilingi beberapa lokasi ikonik dan bersejarah sekitar daerah berkenaan.
“Penyertaan pelajar sekolah pada program ini memberi peluang kepada mereka mengutip markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), sekali gus memberi nilai tambah serta dorongan untuk mereka terus aktif dalam bidang kokurikulum.
“Selain itu, peserta berpeluang merentasi pelbagai lokasi menarik di sekitar Taiping, Kamunting, Simpang Empat, Batu Kurau dan Bukit Merah yang sengaja dipilih bagi menonjolkan keindahan serta keunikan kawasan berkenaan,” katanya ketika ditemui di Dataran Warisan Taiping di sini hari ini.
Terdahulu, Wong yang juga Ahli Parlimen Taiping turut menyertai kayuhan bagi kategori 17 km bermula dari Dataran Warisan Taiping mengelilingi beberapa lokasi sekitar, termasuk Taman Tasik Taiping.
Beliau ketika mengulas mengenai impak positif dari sudut ekonomi tempatan berkata penganjuran acara sukan berkenaan secara tidak langsung menjana pendapatan sektor pelancongan dan perhotelan setempat.
“Semua hotel dan inap desa di Taiping penuh sejak dua tiga hari lepas, malah ada peserta yang terpaksa menginap di luar kawasan seperti Kuala Kangsar dan Ipoh,” katanya.
Beliau berkata limpahan manfaat itu bukan sahaja dinikmati pengusaha penginapan, malah merangkumi peniaga kedai makan, penjaja kecil serta perkhidmatan pengangkutan awam di sekitar daerah berkenaan.
Selain itu, Wong berkata kejayaan penganjuran pada edisi kali ini turut membuktikan gabungan antara sektor sukan dan pelancongan mempunyai potensi besar untuk dikembangkan ke peringkat lebih tinggi.
“Saya juga berharap pihak penganjur boleh menyasarkan penganjuran dalam skala lebih besar pada tahun hadapan dengan penyertaan lebih ramai pelumba dan peminat sukan berbasikal dari dalam mahupun luar negara,” katanya.
-- BERNAMA