KUALA LUMPUR: Sebanyak 30 individu termasuk seorang warga tempatan ditahan dalam operasi membanteras sindiket persundalan rentas sempadan Malaysia-Singapura yang menggunakan laman sesawang untuk mempromosikan kegiatan itu kepada pelanggan di republik tersebut.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, Ops Noda-Rentas Sempadan dilancarkan semalam dengan kerjasama Pasukan Polis Singapura (SPF) dan dijalankan serentak di beberapa premis kediaman sekitar Kuala Lumpur serta Johor.
“Pasukan serbuan JSJ Bukit Aman dengan kerjasama JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor berjaya menahan sembilan individu terdiri daripada seorang warga tempatan dan lapan warga asing berusia 29 hingga 56 tahun.
“Lapan warga asing itu terdiri daripada tujuh warga China dan seorang Singapura,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kumar berkata, siasatan awal mendapati sembilan individu itu dipercayai anggota sindiket sama dan mempunyai rekod dikehendaki SPF selain seorang warga Singapura dan empat rakyat China terlibat didapati tinggal lebih masa di Malaysia.
Beliau berkata, mereka akan diserahkan kepada pihak berkuasa Singapura melalui Bahagian D12 (NCB/Interpol) JSJ Bukit Aman selepas pengesahan identiti di bawah Seksyen 5(3) Akta (Peruntukan-Peruntukan Khas) Saman dan Waran 1971 dibuat di hadapan Majistret.
Dalam operasi sama, Kumar berkata, polis turut menahan 21 warga asing terdiri daripada lima lelaki dan 16 wanita berusia 19 hingga 41 tahun kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti mempromosi serta mengurus perkhidmatan persundalan dalam talian.
“Mereka terdiri daripada 17 warga China, tiga Vietnam dan seorang Laos. Pelbagai peranti elektronik dipercayai digunakan untuk menjalankan aktiviti persundalan dalam talian dirampas bagi membantu siasatan,” katanya.
Kumar berkata, 21 individu itu direman bagi siasatan mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 15(4) akta sama, jika sabit kesalahan.
Berhubung modus operandi, Kumar berkata, sindiket itu dipercayai aktif di Singapura sejak 2024 dengan menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi bagi menguruskan dua laman sesawang terlibat dipercayai bagi mengelak dan menyukarkan pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan.
“Kejayaan operasi ini membuktikan keberkesanan sinergi strategik antara PDRM dan SPF melalui perkongsian maklumat risikan dalam mencapai objektif bersama untuk membanteras kegiatan sindiket persundalan rentas sempadan antara dua negara,” katanya.
Kumar berkata, PDRM sentiasa komited dalam membanteras aktiviti persundalan rentas sempadan yang membawa impak negatif kepada kestabilan ekonomi negara dan keruntuhan sosial.
Beliau turut menggesa orang ramai untuk menyalurkan maklumat bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan itu.
-- BERNAMA