KUALA LUMPUR: Seramai 31 individu mendakwa menjadi mangsa penipuan seorang lelaki bergelar Datuk yang menawarkan pakej perniagaan dan tajaan umrah dengan jumlah kerugian dianggarkan melebihi RM300,000 sejak 2023.

Syarikat berkenaan menggunakan sistem ejen untuk menarik peserta menyertai pakej yang berharga antara RM4,490 hingga RM13,090.

Bagi meyakinkan orang ramai, syarikat itu turut melantik individu bergelar ustaz dan ustazah bagi menunjukkan operasi mereka sah dan berintegriti.

Wakil kumpulan mangsa terbabit, Rosmawati Mansor, 52, yang juga antara peserta terawal, berkata syarikat tersebut menawarkan konsep perniagaan sambil beribadah, di mana peserta diberikan produk seperti kopi kesihatan dalam bentuk paket untuk dijual, selain dijanjikan tajaan menunaikan umrah.

"Ada peserta yang menerima beberapa paket kopi untuk dijual, manakala ramai juga yang tidak menerima sebarang produk. Sehingga kini, tajaan umrah yang dijanjikan masih tidak dilaksanakan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Rosmawati berkata ibadah umrah yang dijanjikan sepatutnya dilaksanakan antara September 2023 hingga Mac 2024.

Setelah lebih setahun menunggu, beliau yang menyertai pakej itu pada Mac 2023 mengambil keputusan membuat laporan polis di Balai Polis Port Klang pada 23 Feb 2024 kerana merasakan dirinya menjadi mangsa penipuan.

Berikutan itu, seramai 31 mangsa dari Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka, Johor dan Sabah mengambil keputusan mengupah peguam bagi mendapatkan kembali wang yang telah dibayar.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Abu Bakar Majid, 57, berkata beliau telah membayar sebanyak RM24,650 bagi menyertai perniagaan itu untuk dirinya dan enam ahli keluarganya sekitar Ogos 2023 kerana tertarik dengan tawaran tajaan umrah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya akan menyemak semua laporan yang diterima dan menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dalam memilih syarikat yang menawarkan pakej umrah.

-- BERNAMA