Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, wanita berusia 30 tahun itu ditahan reman dua hari sehingga Jumaat manakala tiga lelaki berusia 15 hingga 39 tahun itu direman tiga hari bermula Khamis.
Menjelaskannya, Sulizmie Affendy berkata, kejadian pertama kira-kira pukul 11.30 pagi di Jalan Benteng, di sini itu berlaku ketika pegawai DBKL mengalihkan food truck yang menghalang lorong.
Tindakan itu menurutnya, menyebabkan wanita pemilik food truck menghalang pengadu dan berlaku pergelutan.
"Akibatnya, pengadu mengalami kecederaan dan luka akibat digigit. Wanita terbabit berjaya ditahan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, Sulizmie berkata, pada hari sama, kira-kira pukul 10.08 malam, polis menerima satu lagi laporan daripada pegawai penguat kuasa DBKL ketika membuat rondaan penjaja di sekitar Masjid India.
Katanya, ia membabitkan kekecohan membabitkan petugas DBKL dengan beberapa orang penjaja di hadapan suatu premis perniagaan di Masjid India, di sini.
Beliau memberitahu, ketika melakukan penyuraian kekecohan, mereka dirempuh secara kasar dan menyebabkan pengadu jatuh.
Susulan kejadian itu, katanya, tiga lelaki tempatan berusia 15 sehingga 39 tahun ditahan bagi siasatan lanjut.
"Berdasarkan pemeriksaan, salah seorang daripada mereka mempunyai satu rekod lampau membabitkan kesalahan dadah," ujarnya.
Beliau memberitahu, kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.
