Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu Muhamad Fadlee Hassan berkata 10 tan kelapa tua yang diimport dari Indonesia telah diterima untuk kegunaan sepanjang minggu pertama puasa.
"Pada Januari dan bulan lepas, FAMA Terengganu telah terima 30 tan kelapa tua yang diagihkan ke outlet FAMA, pemborong dan juga peniaga santan yang membeli secara terus.
"Dua minggu sebelum Aidilfitri, kita jangka permintaan akan meningkat sehingga 20 tan seminggu. Jadi, kita akan bawa masuk keseluruhan 60 tan untuk menampung permintaan pada bulan ini (Mac)," katanya pada sidang media di sini semalam.
Beliau berkata bekalan yang diterima daripada Ibu Pejabat FAMA itu akan dihantar ke Pusat Operasi FAMA, di sini dan Besut untuk diagihkan kepada outlet peruncitan di bawahnya.
Muhamad Fadlee berkata ketika ini bekalan kelapa tua dijual pada harga RM3 sekilogram dan harganya akan berubah mengikut pasaran semasa disebabkan beberapa faktor termasuk masalah kekurangan bekalan serta persaingan permintaan di peringkat global.
"Kenaikan harga kelapa di Malaysia disebabkan kemerosotan bekalan ekoran perubahan iklim.
"Kita berharap inisiatif FAMA melalui pelan intervensi kelapa tua dapat memenuhi keperluan orang ramai di bulan Ramadan dan menjelang Syawal yang akan disambut tidak lama lagi," katanya.
-- BERNAMA
