Datuk Bandar MBSP Datuk Baderul Amin Abdul Hamid berkata kawasan bendang ialah zon jelapang padi dan sebarang aktiviti tanpa kebenaran atas tanah pertanian adalah dilarang bagi memelihara keterjaminan dan sumber rantaian makanan.
Beliau berkata pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan situasi itu dan menegaskan tindakan bakal diambil di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 terhadap mana-mana pihak yang ingkar.
"Berdasarkan rekod di Seberang Perai Utara ada 28 kes atau kawasan yang dikesan, 26 di Seberang Perai Tengah (SPT) manakala di Seberang Perai Selatan (SPS) tujuh kawasan, melibatkan banyak lot dan semua kawasan ini sedang dalam pemantaun MBSP.
"Bagaimanapun, kita berdepan kesukaran dalam mengambil tindakan kerana mereka seperti ikut pergerakan kita dan jentera digunakan didapati tiada di lokasi ketika operasi dijalankan. Tahun lepas saja kita telah rampas sebanyak 28 lori ...," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas memantau kerja menambun tanah di dua lot tanah bendang di Permatang Ara, Permatang Pauh di sini bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang H'ng Mooi Lye.
Baderul Amin berkata isu timbul apabila lot berkenaan dipecahkan kepada lot-lot lidi (lot kecil) dan dijual kepada individu tanpa mengetahui ia satu kesalahan untuk membangunkan rumah kediaman atas tanah bendang.
"Kita benarkan buat sebuah rumah atas bendang tetapi yang berkaitan dengan pertanian. Isu di sini apabila pecah lot dan dibina rumah-rumah persendirian. Bila dibawa ke mahkamah nama pengusaha (broker) tanah itu tidak wujud dan yang wujud nama pembeli.
"Pembeli pula mendakwa tidak tahu menahu kerana beranggapan pembinaan di situ telah mendapat kelulusan dan sebagainya. Jadi sebab itu perkara ini akan dibawa kepada kerajaan negeri bagaimana masalah hendak diatasi," katanya.
Sementara itu, H'ng berkata kawasan aktif penanaman padi memang tidak dibenarkan untuk menjalankan sebarang kerja tanah hanya beberapa jenis binaan sahaja dibolehkan seperti rumah burung walit dan yang berkaitan dengan padi, contohnya stor simpanan padi namun perlu membuat permohonan serta mendapat kelulusan.
Beliau berkata pemantauan lebih ketat akan dilaksanakan bagi memastikan aktiviti sama tidak berulang di samping meningkatkan kerjasama dengan agensi berkaitan bagi mengawal pencerobohan dan aktiviti tanah haram di kawasan jelapang padi.
-- BERNAMA
