SEPANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perlu ada usaha untuk menambah jumlah pelajar dalam bidang displin Sains, Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di negara ini, bagi menampung keperluan dalam bidang berkaitan.

Justeru, Perdana Menteri menjelaskan, beliau akan mencadangkan agar kemasukan pelajar ke bidang berkenaan di sekolah-sekolah berasrama penuh akan ditingkatkan kepada 70 peratus.

Tambahnya, kerajaan agak khuatir dengan penurunan kemasukan pelajar baharu ke dalam bidang berkenaan, tatkala negara sedang memberi fokus kepada pembangunan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI).

“Kita ada Infineon, kita ada NVIDIA, kita ada Google, kita ada Microsoft, dan sekarang AI di merata tempat tetapi anak-anak kita tidak ambil STEM. Maksudnya, matematik, sains itu sudah kurang minatnya, jurusan kejuruteraan dan sebagainya.

“Oleh itu, kita harap mulai tahun ini, ada usaha untuk menambah jumlah pelajar dalam bidang ini. Saya juga akan cadangkan kepada pelajar, sekolah-sekolah dan sekolah mendengar asrama penuh, (kemasukan) lebih 70 peratus mulai tahun depan.

“Mahu masuk ke sekolah berasrama penuh, mesti pilih jurusan sains, matematik dan STEM. Sebanyak 30 peratus mesti liberal arts dan sains sosial, macam saya. Kalau tidak, tidak ada pun tidak boleh juga. Dia tahu buat jambatan tetapi dia tidak tahu jambatan antara manusia. Jadi buatlah jambatan, saya cuba tambah jambatan antara manusia,” katanya.

Anwar menjelaskan, beliau akan meminta pengurusan sekolah berasrama penuh dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk mendorong lebih banyak kemasukan pelajar ke jurusan STEM.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan tazkirah ringkas di Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri bersama Syarikat Korporat dan Syarikat Berkaitan Kerajaan di Multimedia University di sini, pada Rabu.