Skip to main content

Malaysia

80 peratus kandungan RUU MARA baharu tumpu perkukuh tadbir urus - Asyraf Wajdi

ASYRAF WAJDI DUSUKI
Pengerusi MARA Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata langkah itu diambil bagi memastikan tiada lagi insiden yang berkait dengan salah guna kuasa, kelemahan tadbir urus, penyelewengan, penyimpangan, ketirisan mahupun keborosan serta risiko yang mengakibatkan kemudaratan besar kepada institusi terbesar yang bertanggungjawab menjaga kepentingan Melayu dan Bumiputera itu. - Foto Facebook Asyraf Wajdi Dusuki
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebanyak 80 peratus kandungan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Amanah Rakyat (MARA) 2026 yang akan dibentangkan di Parlimen sebelum hujung tahun ini memberi tumpuan kepada aspek tadbir urus korporat bagi memperkukuh struktur dan pengurusan institusi itu.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Pengerusi MARA Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata langkah itu diambil bagi memastikan tiada lagi insiden yang berkait dengan salah guna kuasa, kelemahan tadbir urus, penyelewengan, penyimpangan, ketirisan mahupun keborosan serta risiko yang mengakibatkan kemudaratan besar kepada institusi terbesar yang bertanggungjawab menjaga kepentingan Melayu dan Bumiputera itu.

Beliau berkata antara perkara utama dalam draf RUU itu yang telah mendapat kelulusan dasar Mesyuarat Jemaah Menteri ialah pengurangan kuasa Pengerusi MARA yang hanya akan bertanggungjawab mempengerusikan Lembaga Pengarah atau Majlis dan menentukan perkara dasar, berbanding kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta MARA 1966.

“RUU berkenaan turut memperincikan pengasingan kuasa antara Lembaga dengan pengurusan MARA, selain memperkenalkan kriteria pelantikan atau ‘fit and proper’ bagi anggota Lembaga serta mengehadkan tempoh perkhidmatan.

“Selain itu, aspek tatakelola kewangan dan perolehan juga akan diperketatkan bagi memastikan perkara itu memenuhi piawaian nasional dan antarabangsa,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata draf RUU itu turut mewujudkan beberapa Jawatankuasa Lembaga yang wajib, termasuk Jawatankuasa Audit MARA, Jawatankuasa Pelaburan MARA, Jawatankuasa Kewangan dan Tadbir Urus MARA serta Jawatankuasa Risiko MARA.

“Buat pertama kali juga Jawatankuasa Syariah diwujudkan untuk memastikan segala aspek operasi MARA mematuhi prinsip syariah,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata terdapat beberapa lagi aspek penting yang berkait dengan amalan tadbir urus yang baik dalam draf itu, yang selama ini tidak pernah disebut dengan jelas dalam Akta MARA 1966.

Beliau berkata RUU baharu itu adalah kemuncak hasil penambahbaikan tadbir urus yang dilaksanakan selepas beliau dilantik sebagai Pengerusi MARA pada 10 Mac 2023, selepas menubuhkan pasukan khas yang diketuai oleh bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Muhammad Ibrahim.

Menurut Asyraf Wajdi, antara langkah yang diambil ialah memperketat disiplin kewangan semua bahagian dalam MARA, melaksanakan audit forensik terhadap anak syarikat MARA, menyelaraskan audit dalaman MARA dan MARA Corp secara berpusat serta merombak bahagian perolehan.

Selain itu, sistem pelaporan dan penyediaan laporan prestasi kewangan bulanan pengurusan kepada Majlis MARA turut diwujudkan mengikut piawaian antarabangsa.

Pada 14 Jun lepas, Asyraf Wajdi berkata pindaan Akta MARA 1966 itu bagi memastikan Akta MARA yang baharu lebih relevan dan mampu memperkukuh peranan agensi berkenaan dalam memperkasa agenda pembangunan Bumiputera.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement