IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin, 58, meninggal dunia selepas bermain bola sepak di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, petang tadi.

Perkara itu dimaklumkan rakannya yang juga bekas pemain bola sepak Perak, Mohd Zakaria Mohamad.

Menurut Mohd Zakaria, berdasarkan maklumat yang diterimanya, Allahyarham dikatakan rebah selepas bermain dalam pertandingan bola sepak persahabatan dengan bekas pemain empat negeri, Perak, Pulau Pinang, Kedah, dan Perlis.

“Allahyarham dikatakan rebah ketika berbual dan bergambar dengan beberapa rakan bekas pemain dari negeri lain sekitar jam 6 lebih sikit,” katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya, pasukan perubatan kemudiannya memberi rawatan awal sebelum dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang.

“Allahyarham dikatakan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Pulau Pinang,” ujarnya.

Allahyarham menjadi ADUN Ayer Kuning pada penggal pertama selepas menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022 lalu.