Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Romzi Ationg berkata, isu itu harus ditangani oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah tanpa campur tangan luar, yang boleh menyebabkan salah tanggapan dalam kalangan orang awam.
"Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa mesti disokong sepenuhnya untuk membawa perubahan yang diperlukan kepada Labuan sebagai Wilayah Persekutuan.
"Pengoperasian semula perkhidmatan feri ekspres ini akan memberikan manfaat ekonomi, jadi adalah penting bagi semua pihak bekerjasama menyokong inisiatif ini dan elak kritikan yang boleh menghalang kemajuan," katanya kepada Bernama pada Khamis.
Sementara itu, Presiden Majlis Belia Labuan (MBL), Nazera Roslan berkata, pengoperasian semula perkhidmatan feri ekspres itu memberikan kelebihan ekonomi dan pelancongan.
"Komuniti tempatan berpeluang untuk mendapat manfaat daripada penyambungan semula laluan terus feri ke Kota Kinabalu, yang menawarkan masa perjalanan lebih pendek berbanding laluan semasa melalui jeti Menumbok," katanya.
Nazera turut melahirkan keyakinan terhadap kemampuan kerajaan untuk menyelesaikan isu teknikal dengan pantas, sambil menekankan bahawa komuniti belia yakin situasi itu mampu ditangani.
"Ini adalah perkara teknikal kecil yang boleh diselesaikan tanpa menjadikannya satu kontroversi," katanya.
Nazera berkata, pengoperasian semula perkhidmatan feri ekspres itu dijangka menyediakan laluan penting untuk penduduk tempatan dan pelawat.
Beliau berkata, feri ekspres itu sepatutnya beroperasi semula pada 15 Dis lepas, tetapi ditangguhkan kerana struktur jeti yang tidak selamat di Jesselton Point, Kota Kinabalu, sambil menambah isu teknikal berkenaan boleh diselesaikan dalam tempoh terdekat. - BERNAMA