Skip to main content

Malaysia

Ahli NUBE dakwa digantung tugas kerana pakai lencana 'Bank Tipu Kita'

Tiga pekerja bank mendakwa dikenakan tindakan disiplin selepas memakai lencana ‘Bank Tipu Kita’ sebagai tanda sokongan terhadap kempen NUBE. -Foto Astro AWANI
Tiga pekerja bank mendakwa dikenakan tindakan disiplin selepas memakai lencana ‘Bank Tipu Kita’ sebagai tanda sokongan terhadap kempen NUBE. -Foto Astro AWANI

Advertisement

Ringkasan AI

  • Tiga pekerja bank mendakwa digantung tugas selepas memakai lencana 'Bank Tipu Kita' sebagai sokongan kepada kempen kesatuan sekerja NUBE.
  • Mereka menerima surat tunjuk sebab dan hanya menerima separuh gaji sepanjang tempoh penggantungan, yang mungkin dilanjutkan oleh pihak pengurusan.
  • Himpunan Mega NUBE diadakan bagi mendesak penyelesaian isu perjanjian kolektif, bantuan perayaan dan jaminan pekerjaan yang berlarutan hampir tiga tahun.

PUTRAJAYA: Selepas 27 tahun berkhidmat tanpa pernah dikenakan tindakan disiplin, seorang pekerja bank mendakwa digantung tugas selepas memakai lencana bertulis "Bank Tipu Kita" sebagai tanda sokongan terhadap kempen kesatuan sekerja.

Pekerja yang mahu dikenali sebagai Aisyah itu merupakan antara ahli Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) yang ditemui Astro AWANI ketika menyertai Himpunan Mega NUBE di hadapan Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Menurut Aisyah, beliau memakai lencana berkenaan meskipun beberapa kali diminta menanggalkannya oleh pihak pengurusan.

Katanya, beliau kemudian menerima surat tunjuk sebab sebelum digantung tugas selama 14 hari dan tempoh itu mungkin dilanjutkan.

“Hanya kerana memakai sekeping lencana, saya dikenakan tindakan,” katanya.

Aisyah berkata, tindakannya memakai lencana itu dibuat atas kapasiti sebagai ahli kesatuan dan beliau berpandangan aktiviti berkenaan merupakan sebahagian daripada haknya untuk bersuara.

Beliau turut memaklumkan hanya menerima separuh gaji sepanjang tempoh penggantungan, namun pembayaran penuh dijangka dibuat selepas proses berkenaan selesai.

Seorang lagi pekerja yang mahu dikenali sebagai Dayang berkata beliau mula memakai lencana itu pada 18 September dan terus memakainya walaupun diarahkan supaya menanggalkannya.

Dayang mendakwa pihak pengurusan turut memantau menerusi kamera litar tertutup (CCTV) bagi memastikan sama ada beliau masih memakai lencana berkenaan.

“Saya memakai lencana ini sebab saya yakin apa yang saya buat ini benar. Kami ada hak sebagai pekerja dan juga ahli kesatuan,” katanya.

Menurut Dayang, tindakan disiplin terhadapnya bermula dengan peringatan dan surat tunjuk sebab sebelum beliau digantung tugas selama dua minggu, dengan kemungkinan tempoh itu dilanjutkan.

Seorang lagi peserta himpunan yang hanya mahu dikenali sebagai Farah, yang telah berkhidmat selama 20 tahun sebagai juruwang, berkata beliau turut menerima surat tunjuk sebab sebelum digantung tugas selama tiga minggu.

Menurutnya, alasan yang diberikan ialah pemakaian lencana berkenaan didakwa bertentangan dengan polisi dalaman berkaitan imej bank.

Pengalaman tiga pekerja itu antara isu yang diketengahkan dalam Himpunan Mega NUBE yang menghimpunkan ahli kesatuan bagi mendesak penyelesaian pertikaian perusahaan yang didakwa berlarutan hampir tiga tahun.

Antara tuntutan yang dibangkitkan termasuk penyelesaian perjanjian kolektif, bantuan perayaan serta jaminan pekerjaan.

Bagi Aisyah, isu perjanjian kolektif yang menurutnya masih belum diselesaikan selepas hampir tiga tahun serta bantuan perayaan menjadi antara perkara utama yang mahu diselesaikan menerusi rundingan.

“Berundinglah secara bijaksana. Selesaikanlah masalah kami dan permohonan kami,” katanya.

Dakwaan mengenai tindakan disiplin terhadap pekerja terbabit merupakan keterangan yang diberikan kepada Astro AWANI.

Setakat wawancara dijalankan, tiada maklum balas diterima daripada pihak majikan.

Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI

  • Q: Apakah punca pekerja bank digantung tugas menurut artikel ini? 
    A: Pekerja bank digantung tugas kerana memakai lencana bertulis "Bank Tipu Kita" sebagai tanda sokongan terhadap kempen kesatuan sekerja, walaupun telah diminta menanggalkannya oleh pihak pengurusan.
  • Q: Berapa lama tempoh penggantungan tugas yang dikenakan kepada pekerja terlibat? 
    A: Tempoh penggantungan tugas yang dikenakan adalah antara dua hingga tiga minggu, dengan kemungkinan tempoh itu dilanjutkan.
  • Q: Apakah tuntutan utama yang dibangkitkan oleh ahli kesatuan dalam Himpunan Mega NUBE? 
    A: Tuntutan utama yang dibangkitkan termasuk penyelesaian perjanjian kolektif, bantuan perayaan, dan jaminan pekerjaan.
  • Q: Bagaimana tindakan disiplin dilaksanakan terhadap pekerja yang memakai lencana tersebut? 
    A: Tindakan disiplin bermula dengan peringatan, diikuti surat tunjuk sebab, dan seterusnya penggantungan tugas selama dua hingga tiga minggu.
  • Q: Adakah pihak majikan memberikan maklum balas mengenai dakwaan tindakan disiplin ini? 
    A: Setakat wawancara dijalankan, tiada maklum balas diterima daripada pihak majikan.

Must Watch Video

Advertisement