Ringkasan AI
- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengingatkan Ahli Parlimen, terutama pihak pembangkang, untuk membahaskan isu yang memupuk perpaduan dan bukan isu berunsur hasutan.
- Fahmi mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary, yang mencadangkan Akta Anti Diskriminasi Kaum, yang dianggap boleh meningkatkan ketegangan.
- Fahmi juga menyatakan bahawa kenyataan Ahmad Marzuk akan dirujuk kepada jawatankuasa pilihan khas di Dewan Rakyat dan akan dibawa kepada perhatian Kabinet.
Beliau berkata hal ini adalah selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-15 bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebelum ini, yang mengingatkan semua ahlinya bahawa Parlimen adalah dewan yang mulia untuk membahaskan agenda kepentingan rakyat dan kemakmuran negara.
"Saya lihat ramai Ahli Parlimen terutama pihak pembangkang sangat tidak bertanggungjawab dan mereka sepatutnya mendengar serta mengikut titah nasihat Tuanku supaya menggunakan dewan untuk membahaskan perkara yang benar-benar boleh bantu pupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat dan membina sebuah negara bangsa berjaya.
"Bukan cuba mengapi-apikan atau menakut-nakutkan (dengan unsur hasutan)," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Impact Comm 2025: Shaping Corporate Communication for Impact di sini hari ini.
Beliau yang juga jurucakap Kerajaan MADANI mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary bahawa cadangan Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng supaya Akta Anti Diskriminasi Kaum perlu digubal, mampu meningkatkan ketegangan dan berkemungkinan berulangnya rusuhan berdarah 13 Mei 1969.
Fahmi berkata kenyataan Ahmad Marzuk yang dilihat seolah-olah percubaan hasutan itu akan dirujuk kepada jawatankuasa pilihan khas yang berkaitan di Dewan Rakyat, memandangkan perkara itu dibincangkan ketika persidangan Parlimen.
"Saya juga akan bawa perkara itu kepada perhatian Kabinet kerana ini seperti satu percubaan hasutan. Sebagai Ahli Parlimen, beliau (Ahmad Marzuk) sepatutnya lebih bijak dan jangan mengapi-apikan sentimen dan cuba bangkitkan hal seperti ini," katanya.
Sementara itu mengenai Impact Comm 2025: Shaping Corporate Communication for Impact, Fahmi berkata ia dirangka untuk memperkasakan golongan profesional komunikasi dengan kemahiran, strategi dan pandangan yang diperlukan bagi mengharungi cabaran komunikasi korporat moden.
Persidangan itu menghimpunkan pemimpin industri, pakar komunikasi, dan ahli strategi untuk meneroka kuasa transformasi komunikasi strategik dalam membentuk reputasi korporat, mempengaruhi persepsi awam, dan memacu kejayaan perniagaan.
-- BERNAMA
