KUALA TERENGGANU: Sebanyak 43 kampung yang terletak berhampiran 12 muara sungai di Terengganu berisiko dinaiki air susulan fenomena air pasang besar yang diramal bermula pada 9 malam ini hingga 30 Jan.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu Ir Osman Abdullah berkata limpahan air laut di pesisir pantai dan muara boleh menyebabkan banjir di kampung berhampiran dan tepi pantai sekiranya hujan lebat berlaku serentak dengan kejadian air pasang.

Beliau berkata di daerah Kuala Nerus, lokasi berisiko ialah Kampung Baru Seberang Takir, Kampung Seberang Takir, Kampung Ulu Takir, Kampung Pak Tuyu, Kampung Tanjung Gelam, Kampung Pulau Rusa, Kampung Pulau Sekati dan Kampung Pulau Ketam manakala di Kuala Terengganu pula melibatkan Kampung Kubang Ikan, Kampung Kuala Ibai dan Taman Purnama.

"Di daerah Dungun, kawasan yang dijangka terjejas termasuk Kampung Seberang Pintasan, Kampung Teluk Bidara, Kampung Tanjung Jara, Kampung Che Lijah, Kampung Alor Makbah, Kampung Bijangga, Kampung Sungai Buaya dan Kampung Sungai Udang.

"Lokasi lain yang berisiko di Dungun ialah Kampung Kuala Paka, Kampung Tebing Tembah, Kampung Pinang Merah, Kampung Durian Mentangau serta Kampung Sura," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata di daerah Besut, Kampung Pengkalan Atap, Kampung Teluk Budu, Kampung Pantai dan Kampung Nail turut berisiko dinaiki air.

Selain itu, Osman turut menyenaraikan lima kawasan di daerah Marang yang akan terjejas iaitu Kampung Rusila, Kampung Rhu Dua, Kampung Rhu Rendang, Kampung Merchang dan Kampung Baru Pulau Rusa.

Kawasan berisiko di daerah Setiu pula katanya, merangkumi Kampung Gong Batu, Kampung Pengkalan Gelap, Kampung Limau Nipis, Kampung Kuala Setiu, Kampung Fikri dan Kampung Telaga Papan.

"Di Kemaman, empat kawasan dijangka terjejas iaitu Kampung Baru Kemasik, Pulau Skepeng Kuala Kemaman, Pengkalan Cicar Bukit Kuang dan Kampung Bakau Tinggi," katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihati penduduk di kawasan terlibat supaya berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa.

Katanya, walaupun kelajuan angin dijangka hanya sekitar 25 kilometer sejam (km/j), ketinggian ombak yang boleh mencapai lebih tiga meter boleh mendatangkan risiko kepada penduduk di sekitar kawasan pantai.

-- BERNAMA