Skip to main content

Malaysia

Akauntan perlu kuasai pelbagai bidang seiring perkembangan AI - Liew

Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong menggesa golongan akauntan dan profesional kewangan supaya menguasai pelbagai bidang, memandangkan kesan positif dan negatif kecerdasan buatan (AI) semakin ketara dan dijangka terus menjadi perhatian pemimpin kewangan pada tahun-tahun akan datang. - Gambar fail
Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong menggesa golongan akauntan dan profesional kewangan supaya menguasai pelbagai bidang, memandangkan kesan positif dan negatif kecerdasan buatan (AI) semakin ketara dan dijangka terus menjadi perhatian pemimpin kewangan pada tahun-tahun akan datang. - Gambar fail

Ringkasan AI

  • Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong menekankan keperluan akauntan dan profesional kewangan menguasai pelbagai bidang dalam menghadapi impak kecerdasan buatan (AI).
  • Liew menggesa negara ASEAN membina kelas menengah kukuh, menolak persaingan yang merendahkan standard, dan memperkukuh kerjasama serantau untuk menghadapi kuasa besar.
  • Liew turut membincangkan cadangan pindaan Akta Akauntan 1967 bersama Institut Akauntan Malaysia, dengan harapan pindaan dapat dilaksanakan secepat mungkin.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong menggesa golongan akauntan dan profesional kewangan supaya menguasai pelbagai bidang, memandangkan kesan positif dan negatif kecerdasan buatan (AI) semakin ketara dan dijangka terus menjadi perhatian pemimpin kewangan pada tahun-tahun akan datang.

Beliau berkata AI akan mengambil alih sebahagian tugas akauntan yang kurang kompleks, namun pada masa sama berkemungkinan mewujudkan pekerjaan baharu yang memerlukan pertimbangan manusia yang lebih mendalam, kurang bergantung pada kemahiran teknikal dan lebih menekankan pembuatan keputusan berasaskan nilai.

“Dalam konteks inilah saya berpendapat bahawa Malaysia perlu memberikan tumpuan kepada ‘tiga kedudukan pertengahan’ dalam mengharungi era yang semakin kompleks dan kurang naif ini

Advertisement

“Iaitu memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pemain perantara yang amat diperlukan dalam rantaian bekalan dan teknologi; mengekalkan kedudukan berkecuali dalam geopolitik; serta membina kelas menengah yang kukuh,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Kongres Akauntan Bertauliah (CPA) 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata dalam landskap semasa, seseorang akauntan atau pemimpin kewangan boleh dianggap hampir mengabaikan tanggungjawabnya sekiranya tidak memberikan perhatian kepada geopolitik dan geoekonomi, daya tahan rantaian bekalan, bahan dan mineral kritikal, teknologi dan AI, serta pelepasan karbon dan perubahan iklim.

Advertisement

Liew berkata Malaysia, ASEAN dan Australia juga perlu melihat diri masing-masing sebagai kuasa pertengahan, sambil menambah bahawa penyelarasan yang lebih erat antara negara-negara berkenaan akan memperkukuh keupayaan mereka untuk berurusan dengan kuasa besar, termasuk Amerika Syarikat (AS), China dan Rusia, dengan kedudukan yang lebih setara.

“Namun, kelas menengah di AS semakin mengecil dan tidak lagi mampu menyerap keseluruhan kapasiti pengeluaran dunia. Negara-negara ASEAN perlu membangunkan kelas menengah yang besar dan mempunyai kuasa beli yang mencukupi untuk menyerap hasil pengeluaran daripada kapasiti produktif di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata usaha membina dan mengekalkan kelas menengah memerlukan negara-negara Asia Tenggara meninggalkan mentaliti persaingan yang merendahkan standard, bekerjasama menetapkan paras minimum gaji, melahirkan lebih banyak syarikat teknologi tempatan serta meningkatkan pemilikan teknologi oleh syarikat tempatan.

“Sering kali, akauntan dan pemimpin kewangan diminta oleh pelanggan atau majikan syarikat multinasional mereka supaya menggesa kerajaan ASEAN bersaing sesama sendiri untuk menawarkan insentif cukai yang lebih menarik, menekan kadar upah atau menghakis hak pekerja, serta melonggarkan undang-undang alam sekitar dan keperluan pematuhan.

“Saya menggesa akauntan dan pemimpin kewangan yang hadir supaya menolak amalan persaingan yang merendahkan standard sedemikian kerana kita mempunyai matlamat bersama untuk melihat masyarakat ASEAN yang makmur, bersatu padu dan selamat,” katanya.

Sementara itu, Liew berkata beliau mengunjungi Institut Akauntan Malaysia (MIA) minggu lepas bagi membincangkan cadangan pindaan Akta Akauntan 1967, menjelang ulang tahun ke-60 akta berkenaan pada 2027.

“Saya berharap usaha untuk meminda undang-undang itu dapat dilaksanakan secepat mungkin. Sementara itu, saya berharap perbincangan dapat diadakan bagi menilai pelaksanaan undang-undang sedia ada sepanjang enam dekad lalu,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement