SHAH ALAM: Disebabkan pertengkaran akibat kelewatan pembayaran gaji, seorang penyelia kedai runcit ditetak berkali-kali menggunakan pisau pemotong daging oleh pekerjanya di hadapan deretan kedai di Seksyen 7, di sini, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu kira-kira pukul 8.26 pagi dan kemudian polis bergegas ke lokasi.

Beliau memberitahu, berdasarkan maklumat awal, sebelum kejadian itu, berlaku pertengkaran mulut membabitkan mangsa yang merupakan warga Bangladesh dengan salah seorang pekerjanya, juga rakan senegara.

"Bagaimanapun keadaan menjadi semakin tidak terkawal apabila berlaku pergelutan di antara mereka, yang kemudian mengakibatkan suspek menetak mangsa yang berusia 45 tahun menggunakan pisau pemotong daging berulang kali," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.

Mohd Iqbal memberitahu, akibat tetakan itu mangsa mengalami kecederaan parah di kepala, badan, dan tangan.

Menurutnya, akibat tetakan itu mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Susulan kejadian itu, beliau memberitahu, polis menahan tiga lelaki warga Bangladesh termasuk suspek utama kira-kira pukul 1.49 petang, hari sama.

Turut ditahan dua wanita warga sama untuk membantu siasatan.

Kesemua mereka yang berusia 33 hingga 53 tahun katanya, ditahan reman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaaan kerana membunuh.

"Semakan lanjut ke atas kesemua suspek mendapati tiada sebarang rekod jenayah lampau serta ujian saringan air kencing juga negatif," jelasnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superitendan Mohd Afandi Ahmad di talian 016-7252948 atau mana-mana balai polis berhampiran.