Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan daripada anak pasangan itu pada kira-kira 5.32 pagi berhubung kejadian itu sebelum bergerak ke tempat kejadian.
Menurutnya, ketika polis tiba, mangsa berusia 63 tahun ditemukan terbaring dalam keadaan berlumuran darah di bilik tidurnya.
Sehubungan itu katanya, polis menahan suami mangsa yang berusia 65 tahun serta merampas pisau yang digunakan dalam kejadian itu.
"Siasatan juga mendapati selain masalah kewangan, suspek juga dikatakan tertekan dengan penyakit yang dialami mangsa," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Naazron berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan punca kematian adalah disebabkan sesak nafas.
Pasangan itu ujarya, sudah mendirikan rumah tangga sejak 36 tahun dan mempunyai sepasang anak.
Beliau memberitahu, berdasarkan maklumat awal, suspek dipercayai sudah 25 tahun mengusahakan perniagaannya itu.
Menurutnya, polis menahan reman lelaki itu untuk tujuh hari bermula Jumaat.
Kes itu katanya disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sehubungan itu, Naazron menasihati orang ramai supaya sentiasa peka dengan keadaan ahli keluarga dan individu terdekat yang berdepan dengan tekanan perasaan atau masalah perkahwinan.
"Dapatkan khidmat nasihat dan kaunseling di Talian Kasih di talian 15999 atau mana-mana kaunselor bertauliah sekiranya diperlukan.," ujarnya.
