Skip to main content
Advertisement

Malaysia

AKPS perkenal hologram di KLIA Terminal 1, bantu pengembara dapatkan maklumat ketibaan

Awang Alik (kiri) merasmikan AKPS Hologuide pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-2 Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Pusat Konvensyen Movenpick hari ini. -- fotoBERNAMA
Awang Alik (kiri) merasmikan AKPS Hologuide pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-2 Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Pusat Konvensyen Movenpick hari ini. -- fotoBERNAMA

Advertisement

SEPANG: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) membangunkan teknologi hologram yang akan ditempatkan di bangunan satelit Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 bagi membantu pengembara mendapatkan maklumat berkaitan prosedur ketibaan ke negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AKPS Ismail Mokhtar berkata inisiatif itu antara usaha agensi berkenaan memanfaatkan teknologi bagi memudahkan pengembara memperoleh maklumat yang diperlukan sebaik tiba di Malaysia.

Beliau berkata pembangunan hologram itu turut mengambil inspirasi daripada inisiatif Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menempatkan hologram Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di lobi Kompleks Setia Perkasa.

"Bukan sahaja KDN yang telah meletakkan hologram Menteri Dalam Negeri di lobi Kompleks Setia Perkasa, AKPS juga mempunyai hasrat dan misi yang sama. Kami telah membina hologram yang akan ditempatkan di bangunan satelit KLIA yang akan membantu pengembara yang baru sampai mengenai maklumat-maklumat yang perlu disediakan semasa ketibaan di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-2 AKPS, di sini hari ini yang disempurnakan Ketua Setiausaha KDN Datuk Dr Awang Alik Jeman.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata AKPS menyasarkan sebanyak 1,259 kontena yang membawa sisa elektrik dan elektronik (e-waste) dieksport keluar dari negara ini menjelang penghujung tahun ini.

Beliau berkata sasaran itu susulan kejayaan kerajaan buat pertama kalinya pada tahun ini mengeksport keluar kontena membawa e-waste menerusi pasukan petugas yang diketuai agensi berkenaan.

"Isu pengimportan e-waste membuktikan bahawa ancaman di pintu masuk negara semakin kompleks. Penguatkuasaannya bukan sekadar menahan kontena, tetapi turut melibatkan pengesahan dokumen, pemeriksaan teknikal, pengenalpastian pihak bertanggungjawab dan pemantauan tindakan susulan," katanya.

Pada majlis itu, AKPS melancarkan Pelan Strategik AKPS 2026-2030 yang bukan sekadar dokumen rujukan tetapi panduan tindakan pegawai.

Turut dilancarkan logo baharu AKPS bermotifkan helang merah melambangkan ketajaman dan kesiapsiagaan AKPS serta sundang membawa mesej keberanian dan disiplin.

Sementara itu, Awang Alik berkata Menteri Dalam Negeri yang awalnya dijadualkan hadir majlis sambutan itu tidak dapat menghadiri berikutan arahan melaksanakan tugas penting yang tidak dapat dielakkan pada saat akhir.

Beliau berkata Saifuddin Nasution turut menyampaikan permohonan maaf kepada seluruh warga AKPS kerana tidak dapat bersama-sama meraikan sambutan ulang tahun agensi berkenaan.

Katanya, Menteri Dalam Negeri turut merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada seluruh warga AKPS atas komitmen serta dedikasi mereka dalam menggalas amanah menjaga keselamatan dan kedaulatan sempadan negara.

-- BERNAMA  

 

Must Watch Video

Advertisement