JOHOR BAHRU: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menahan serta memeriksa sebuah kontena di Pelabuhan Tanjung Pelepas semalam yang disyaki membawa dagangan untuk dieksport ke Israel.
AKPS dalam kenyataan hari ini memaklumkan penghantaran itu disyaki tidak mematuhi Item No.15 Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2023 yang memperuntukkan larangan pengeksportan barangan secara langsung atau tidak langsung ke Israel selaras dengan dasar dan ketetapan Kerajaan Malaysia.
“AKPS akan menjalankan siasatan lanjut bersama dengan pihak berkuasa dan agensi berkaitan bagi mengesahkan sifat, spesifikasi, kegunaan serta klasifikasi barangan berkenaan.
“Ini termasuk menentukan sama ada barangan tersebut merupakan barangan strategik yang tertakluk kepada kawalan di bawah Akta Perdagangan Strategik 2010 [Akta 708] dan perundangan subsidiari berkaitan,” menurut kenyataan itu.
AKPS menegaskan bahawa Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang melanggar dasar, sekatan dan perundangan negara berkaitan Israel.
Menurut agensi itu, pendirian Kerajaan MADANI dalam perkara berkenaan adalah jelas serta konsisten, dan sebarang percubaan mengeksport barangan secara langsung atau tidak langsung ke Israel yang bertentangan dengan undang-undang serta ketetapan kerajaan akan dikenakan tindakan tegas.
-- BERNAMA