KUALA LUMPUR: Cadangan penggubalan Akta MARA baharu 2026 menjadi kemuncak usaha memperkemas tadbir urus dan tatakelola kewangan Majlis Amanah Rakyat (MARA), kata Pengerusinya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau berkata, akta baharu itu dicadangkan bagi menggantikan Akta MARA 1966 yang disifatkan sudah usang, sekali gus memastikan kerangka perundangan agensi berkenaan kekal relevan dengan skala dan kompleksiti operasinya ketika ini.
Menurutnya, langkah itu penting memandangkan MARA kini menyelia aset bernilai RM23 bilion serta melaksanakan mandat besar dalam sektor pendidikan, keusahawanan dan pelaburan.
"Ini antara faktor kenapa tiga tahun lepas ketika dilantik sebagai Pengerusi MARA pada 10 Mac 2023, perkara pertama yang saya lakukan ialah menubuhkan Pasukan Khas untuk menilai dan memperbaiki Tadbir Urus Korporat dan Tatakelola Kewangan MARA.
"Pasukan khas berkenaan diketuai bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Muhammad Ibrahim, susulan pelbagai maklum balas ketika itu berkaitan isu dan kelemahan tadbir urus MARA sebelum ini," katanya dalam kenyataan, pada Isnin.
Asyraf Wajdi berkata, antara isu yang dikenal pasti termasuk pembelian aset di Australia dan United Kingdom antara 2012 hingga 2014 yang menyebabkan anak syarikat MARA Corporation, MARA Inc mengalami kerugian terkumpul RM286.30 juta bagi tempoh 2012 hingga 2022.
Beliau turut menyenaraikan kontroversi penajaan pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors (TRW), sekitar 2016 hingga 2017, kerugian jutaan ringgit daripada pelbagai projek MARA, kelemahan pengurusan kutipan hutang pinjaman serta isu kartel yang menguasai tender perolehan MARA.
Menurutnya, isu berkenaan menunjukkan keperluan memperkukuh struktur asas tadbir urus institusi dan tatakelola MARA secara menyeluruh.
"Kemuncak kepada segala inisiatif memperkemaskan sistem tadbir urus ini ialah cadangan penggubalan Akta baharu MARA 2026 untuk menggantikan Akta lama yang usang, Akta MARA 1966," katanya.
Asyraf Wajdi berkata, pengukuhan tadbir urus MARA amat penting kerana agensi itu bukan sahaja mengurus kebajikan kira-kira 45,000 pelajar MRSM, malah hampir 225,000 pelajar dalam ekosistem pendidikan MARA serta lebih 500,000 penerima manfaat dalam sektor keusahawanan.
Beliau menegaskan, sebarang bentuk penyelewengan dan penyimpangan dalam pengurusan MARA berpotensi menjejaskan mandat serta amanah besar yang dipertanggungjawabkan kepada institusi itu untuk kepentingan orang Melayu dan Bumiputera.
Malaysia
Akta baharu MARA 2026 perkukuh tadbir urus - Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi berkata, akta baharu itu dicadangkan bagi menggantikan Akta MARA 1966 yang disifatkan sudah usang, sekali gus memastikan kerangka perundangan agensi berkenaan kekal relevan dengan skala dan kompleksiti operasinya ketika ini. - Gambar fail/ Bernama