KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi jaminan aspek kebebasan mahasiswa termasuk hak mengkritik kerajaan akan diberi perhatian dalam penyediaan kerangka perundangan baharu bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).
Menterinya, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata perkara itu telah diambil kira termasuk keperluan menyelaraskan peraturan tatatertib yang ditetapkan oleh universiti awam bagi mengelakkan percanggahan antara institusi.
Beliau berkata langkah segera turut diambil apabila semua tindakan tatatertib berkaitan kebebasan bersuara, penyataan pandangan, kritikan awam dan perhimpunan secara aman sebelum ini digugurkan.
"Kita lihat ada percanggahan, ada universiti boleh buat ini, ada universiti tidak boleh buat itu. Secara keseluruhan aspek itu kita ambil kira dan kita pastikan supaya hal-hal yang sedemikian tidak berlaku.
"Contohnya berambut panjang di universiti ini boleh, (tetapi) di universiti itu tak boleh, atau kritikan di tempat ini boleh, (namun) di tempat itu tak boleh. Jadi ini perkara dari segi penyelarasan di peringkat peraturan universiti awam kita," katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) yang mahu tahu jaminan KPT sekiranya mahasiswa yang mengkritik kerajaan akan mendapat layanan yang sama selepas penggubalan perundangan baharu kelak.
Dalam pada itu, Zambry berkata KPT akan melibatkan semua kumpulan mahasiswa dalam proses libat urus bagi menggubal kerangka undang-undang baharu pendidikan tinggi, tanpa membezakan pendirian mereka terhadap kerajaan.
Ujarnya, KPT turut mengadakan sesi libat urus dengan jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) dan akan mengambil kira pandangan semua pihak dalam usaha menghasilkan akta baharu yang komprehensif.
Selain itu, Zambry memaklumkan KPT juga merancang menggabungkan pelbagai akta berkaitan pendidikan tinggi di bawah satu kerangka perundangan baharu menerusi 'One Higher Education Act', yang bakal AUKU.
Jelas beliau, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha menyusun semula keseluruhan ekosistem perundangan pendidikan tinggi negara agar lebih komprehensif dan mampu memenuhi keperluan pendidikan tinggi untuk tempoh jangka panjang.
"Selain AUKU, beberapa akta lain turut berkaitan secara langsung dengan pendidikan tinggi termasuk Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996, Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605), Akta Pendidikan 1996, Akta Universiti Teknologi MARA 1976, Akta Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 dan Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara," katanya menjawab soalan tambahan, V. Sivakumar (PH-Batu Gajah).