Skip to main content

Malaysia

Aktiviti 'transshipment': Semakan bebas untuk pulihkan keyakinan terhadap Malaysia

51681983156_TBpelabuhanklang.jpg
Malaysia perlu meminta AS mengemukakan bukti di sebalik dakwaan berkenaan supaya perkara itu dapat disiasat dengan sewajarnya. - Gambar hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu menjalankan semakan bebas terhadap dakwaan Amerika Syarikat (AS) berkaitan aktiviti ‘transshipment’ bagi memastikan sebarang pelanggaran dikenal pasti, selain melindungi reputasi negara, kata pakar maritim Datuk Seri R. Jeyenderan.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd berkata, semakan itu perlu menelusuri keseluruhan pergerakan kargo, termasuk manifes, bil muatan, dokumentasi Kastam, sijil asal, rekod penyimpanan, sebarang aktiviti pencampuran atau pemprosesan serta pengisytiharan akhir sebelum eksport.

“Ini adalah prinsip yang sama yang kita bangkitkan melalui isu K8. Apabila wujud persoalan mengenai pergerakan kargo, dokumentasi, penyimpanan, pencampuran atau klasifikasi akhir, jawapannya tidak boleh sekadar ‘tiada kes’ tanpa menjelaskan apa yang diperiksa dan bagaimana kesimpulan itu dicapai.

“Metodologi dan penemuan perlu didedahkan kepada umum dengan melindungi maklumat komersial yang sah. Itulah cara keyakinan dapat dipulihkan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Transshipment merujuk kepada proses memindahkan barangan atau kargo dari satu kenderaan atau mod pengangkutan ke kenderaan yang lain sebelum tiba di destinasi akhir.

Beliau mengulas kenyataan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tan Sri Dr Rebecca Fatima Sta Maria, bahawa Malaysia dilabel secara tidak adil oleh AS berhubung isu berkenaan.

Jeyenderan berkata, sikap berdiam diri Malaysia dalam perkara itu bukan sahaja boleh ditafsirkan sebagai ketidakupayaan atau keengganan untuk menangani isu berkenaan, malah berpotensi menyebabkan eksport negara berdepan pemeriksaan lebih ketat, tempoh pelepasan lebih panjang, kos pematuhan lebih tinggi dan penelitian lebih mendalam terhadap sijil asal.

“Pengeksport kita mungkin kehilangan tempahan dan pelabuhan kita boleh terjejas dari segi reputasi. Ini lebih besar daripada satu laporan AS. Ia menyentuh kredibiliti pelabuhan Malaysia, kawalan Kastam dan dokumentasi perdagangan.

“Malaysia mesti bertindak pantas dengan bukti, pengesahan bebas dan pendirian penguatkuasaan yang jelas. Mempertahankan negara tidak bermakna melindungi sesiapa yang mungkin melanggar peraturan. Ia bermakna melindungi perniagaan Malaysia yang sah dengan mengenal pasti kebenaran dan bertindak berdasarkan perkara itu,” tegasnya.

Jeyenderan turut menambah, Malaysia perlu meminta AS mengemukakan bukti di sebalik dakwaan berkenaan supaya perkara itu dapat disiasat dengan sewajarnya.

“Kita mesti mempertahankan reputasi negara, tetapi pertahanan itu mesti bermula dengan fakta. ‘Transshipment’ yang sah adalah sebahagian daripada perdagangan antarabangsa. Apa yang tidak sah ialah memalsukan asal barangan atau menjalankan pemprosesan kecil semata-mata untuk mengelak tarif.

“Kerajaan perlu menyiasat sebarang dakwaan yang mempunyai asas dengan sewajarnya. Jika syarikat melanggar peraturan, ambil tindakan terhadap mereka. Jika dakwaan itu tidak berasas, Malaysia mesti mencabarnya secara terbuka dengan bukti. Penafian membuta tuli tidak akan melindungi reputasi kita. Ketelusan akan melakukannya,” katanya.

Ketika ditanya sama ada sesetengah perniagaan bersembunyi di sebalik aktiviti transshipment yang sah untuk mengelak membayar tarif, Jeyenderan menjelaskan adalah naif untuk menganggap perkara itu tidak boleh berlaku, namun tidak bertanggungjawab untuk menuduh keseluruhan industri tanpa bukti.

“Perbezaannya ialah kebolehkesanan. Jika barangan hanya melalui Malaysia atau menjalani pembungkusan semula, pelabelan semula, penginvoisan semula atau pemprosesan yang tidak ketara sebelum diisytiharkan sebagai barangan Malaysia, perkara itu mesti disiasat.

“Namun, jika pembuatan sebenar dan transformasi ketara berlaku di Malaysia, itu adalah perdagangan Malaysia yang sah. Pihak berkuasa mesti membezakan kedua-duanya melalui dokumentasi yang betul dan pengesahan fizikal, bukan berdasarkan andaian,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement