IPOH: Ketua Polis negeri perlu mengambil tindakan dan semakan segera terhadap dakwaan salah laku melibatkan anggota yang didedahkan dalam media sosial, termasuk Telegram Edisi Siasat.


Ringkasan AI
  • Ketua Polis negeri perlu mengambil tindakan segera terhadap dakwaan salah laku anggota yang didedahkan di media sosial, termasuk Telegram Edisi Siasat.
  • Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad, menyatakan banyak tuduhan tidak berasas yang membina persepsi negatif terhadap polis, dan aduan di media sosial menyukarkan siasatan kerana kekurangan maklumat pengadu.
  • Bekas Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Noor Hisam Nordin, dilantik sebagai Ketua Polis Perak baharu, menggantikan Datuk Azizi Mat Aris yang bersara.


Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, pemerhatian terhadap saluran itu mendapati, banyak tuduhan dibuat adalah tidak berasas dan telah membina persepsi tidak baik masyarakat terhadap warga polis.

"Saya tak nafikan, saya sendiri turun padang untuk mengesahkan laporan yang dilaporkan dalam portal (Edisi Siasat) itu betul atau tidak kerana saya dapati ada antaranya tiada asas.

"Katakan Ketua Polis Perak baru lapor dan keluar isu di Perak, seharusnya bertindak segera, lihat ada asas atau tidak. Apabila tiada asas, kita buat semakan kenapa (dakwaan) jadi begitu.

"Perkara ini penting kerana apabila disebut berulang-ulang dalam media sosial, boleh membentu persespi yang tidak dapat dikawal," katanya kepada pemberita sempena Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Perak di Mes Pegawai Kanan Polis Perak, di sini, pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai trend aduan salah laku warga polis yang dibuat menerusi media sosial berbanding menggunakan saluran rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Azri berkata, aduan yang dikongsi di media sosial sebenarnya hanya menyukarkan siasatan dilakukan kerana tidak mempunyai maklumat pengadu dan butiran isu yang diketengahkan.

Katanya, lebih memburukkan keadaan, sekiranya aduan tersebut bersifat tohmahan dan bertujuan menjatuhkan reputasi serta kredibiliti seseorang dalam pasukan polis.

"Banyak dah yang kita siasat, tetapi kita tak dapat teruskan kepada pertuduhan kerana tiada maklumat.

"Ketidakpuasan yang dilaporkan tanpa butiran pengadu ini bermaksud lebih kepada surat terbuka dan kalau ikut peraturan, kita tidak boleh layan pun," katanya.

Dalam majlis itu, bekas Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Noor Hisam Nordin dilantik sebagai Ketua Polis Perak baharu berkuat kuasa hari ini.

Noor Hisam, 58, menggantikan Datuk Azizi Mat Aris yang bersara pada 8 November tahun lalu.

Sebelum ini jawatan tersebut dipangku Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat.

Turut berlangsung serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kontinjen Perak yang baharu, Datin Noormawati Abdul Latip. -Sinar Harian