GEORGE TOWN: Malaysia menegaskan, ancaman keselamatan masa kini melangkaui sempadan negara dan memerlukan kerjasama serantau yang lebih kukuh.

Sehubungan itu, Malaysia, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin, komited memperkukuh kesepaduan dalam ASEAN kerana ancaman sedemikian tidak dapat ditangani oleh sebuah negara sahaja.

“Rantau ini berdepan dengan ancaman keselamatan tradisional dan bukan tradisional yang tidak dapat ditangani oleh mana-mana negara secara bersendirian.

“Oleh itu, kita mesti meningkatkan keupayaan kolektif untuk bertindak balas dengan berkesan dan proaktif terhadap cabaran ini,” katanya dalam ucapan pembukaan pada Sesi Permukiman Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) di Batu Ferringhi, di sini, pada Rabu.

Malaysia secara rasmi mengambil alih jawatan Pengerusi ADMM dan ADMM-Plus bagi tahun ini dengan tema ‘Kesepaduan ASEAN Demi Keselamatan dan Kemakmuran.’

Tema itu mencerminkan keyakinan Malaysia bahawa keselamatan adalah asas utama kepada pertumbuhan ekonomi, kestabilan dan kesejahteraan rakyat di rantau ini.

Dalam perkembangan sama, Mohamed Khaled turut menyentuh mengenai ancaman keselamatan dari aktor bukan negera yang dikatakan mengganggu integriti sempadan antarabangsa ASEAN.

“Aktiviti haram ini bukan sahaja mengancam keselamatan, malah boleh menjejaskan dasar perdagangan bebas dan keyakinan awam terhadap ASEAN.

“Kita juga perlu perkukuh pertahanan biosekuriti terutama dalam menghadapi ancaman pandemik dan penyakit berjangkit seperti COVID-19 yang memberi impak besar,” ujarnya.

Terdahulu, Mohamed Khaled membentangkan enam usul iaitu memperkukuh kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber dalam pertahanan.

“Kita juga perlu perkukuh keselamatan maritim, mewujudkan bantuan kemanusiaan dan bencana termasuk mencari dan menyelamat (SAR).

“Antara lain mewujudkan kerjasama industri pertahanan, waspada terhadap ancaman keselamatan daripada pelaku bukan negara dan terakhir ialah perlu berwaspada dengan risiko biosekuriti,” ujarnya.

Lebih 150 delegasi dari 10 negara anggota ASEAN, negara pemerhati Timor-Leste dan Sekretariat ASEAN menghadiri sesi ADMM ke-19.