Majlis yang dijadualkan bermula 2.30 petang itu dijangka turut dihadiri Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu serta Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada 18 Okt lepas, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pelaksanaan projek itu di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Fasa 1 yang melibatkan peruntukan hampir RM1 bilion dengan keluasan sekitar 11,000 hektar.
Projek itu dijangka meningkatkan hasil padi sebanyak 15 peratus serta melonjakkan pendapatan 6,100 pesawah sebanyak 43 peratus.
Pada majlis hari ini, Anwar juga dijangka menyerahkan Bantuan Khas Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) dan Bantuan Banjir Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) kepada pesawah.
Sebelum melancarkan program berkenaan, Anwar dijadual menghadiri Sesi Ramah Mesra Bersama Para Pelajar Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) di Dewan Konvensyen AIU di sini pada 1.30 tengah hari.
Difahamkan pada program berkenaan, para pelajar dari dalam dan luar negara di universiti itu akan bertukar-tukar pandangan bersama Perdana Menteri mengenai pelbagai isu termasuk pembangunan, pendidikan serta hala tuju generasi muda dalam membentuk masa depan negara dan dunia yang lebih lestari.
Lawatan kerja singkat Perdana Menteri ke negeri ini diakhiri dengan menghadiri Majlis Penutup Konvensyen Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKP) Negeri Kedah di sebuah hotel di sini pada 5.30 petang.
-- BERNAMA
